Home Berita PAS Pulau Pinang

KERAJAAN NEGERI DIGESA SEGERA SELESAIKAN ISU PENDUDUK PPR TAMAN MANGGIS

1449
SHARE

KERAJAAN NEGERI DIGESA SEGERA SELESAIKAN ISU PENDUDUK PPR TAMAN MANGGIS

Oleh: Wardah AR

GEORGE TOWN : Lebih 20 penyewa Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis di sini dihalau dari kediaman masing-masing setelah didakwa enggan berpindah selepas diarah berbuat demikian.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, berkata arahan pengosongan itu dibuat pihaknya kerana mendapati ada penduduk melanggar syarat penempatan seperti tunggakan bayaran sewa, jumlah pendapatan melebihi kelayakan, status kewarganegaraan dan syarat-syarat lain yang telah ditetapkan.

Walaupun begitu alasan dan dakwaan kerajaan bahawa kesilapan berpunca di kalangan penyewa, adalah tidak wajar penduduk dilayan sedemikian rupa.

Tinjauan wakil PAS Pulau Pinang di sini mendapati penyewa diusir keluar rumah tanpa sebarang perbincangan, tanpa sempat mengambil barang keperluan dan sebagainya. Rumah mereka dikunci sedangkan semua dokumen, pakaian, makanan dan segala kelengkapan didalam rumah, tiada diplomasi daripada kerajaan membenarkan mereka mengambil keperluan harian, sehingga terpaksa tidur di bawah Komtar, dengan sehelai sepinggang. Begitu hina sekali mereka diperlakukan.

Mereka bertindak seperti pemaju menghalau penduduk yang sepatutnya dilindungi. Kerajaan seharusnya mencari penyelesaian lebih berhemah terhadap kemelut yang berlaku. Bukan bertindak menghalau penduduk tanpa belas begitu.

Sebelum ini saudara Iszuree Ibrahim, mantan Ahli Majlis yang dipecat telah memaklumkan lebih awal pada tahun 2014 bahawa kerajaan DAP bersikap mesra pemaju, dan kini dakwaan tersebut jelas terbukti.

Sepanjang 10 tahun memerintah, kerajaan DAP tidak pernah membina rumah PPRT. Mereka mendakwa telah membina rumah mampu milik yang lebih baik dari kerajaan sebelum ini sedangkan Projek Perumahan Rakyat ini adalah projek UMNO BN, mereka penduduk mendiami perumahan ini sejak 2006 dengan taraf kehidupan miskin bandar.

PAS Pulau Pinang diketuai Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff, YDP Tanjong, Tuan Yaacob Omar, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri, En. Iszuree Ibrahim dan Pengerusi Lajnah Tanah dan Alam Sekitar, En Saiful Lizan Md Yusoff, turun meninjau keadaan di lokasi kejadian, PPR Taman Manggis, George Town.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang melahirkan rasa kesal dan bimbang cubaan menghalau penyewa PPR hari ini sebagai cubaan halus menghakis hak Melayu Pulau Pinang. Hari ini 21 keluarga yang diusir dan masih berbaki 279 rumah lagi. Kita bimbang jika tidak ada tindakan balas dan pembelaan sewajarnya terhadap 21 mangsa ini, 279 penyewa lagi bakal berhadapan dengan nasib yang sama.

Dari maklumat yang diterima pengusiran keluarga bangsa Melayu Islam ini akan digantikan oleh kerjaaan DAP dengan pemohon bukan Melayu yang sedang memohon. Beginikah cara kerajaan DAP melayan penduduk Melayu Pulau Pinang?

Menurut Ustaz Muhammad Fauzi, pengusiran ini bukti kegagalan kerajaan DAP Pulau Pinang menangani krisis perumahan rakyat.

Kenyataan YB Jagdep, EXCO perumahan bahawa terdapat 600 orang lagi sedang menunggu rumah PPR mengesahkan Kerajaan gagal membina rumah impian rakyat yang mampu dimiliki oleh rakyat Pulau Pinang yang berpendapatan rendah. Sebaliknya Kerajaan negeri lebih menumpukan projek perumahan mewah disekitar Pulau Pinang ini.

Mereka gagal memahami permasalahan rakyat bawahan yang tiada pilihan selain menduduki rumah PPR. Mereka juga gagal mengenali antara miskin bandar dan luar bandar sehingga salah satu syarat untuk menyewa rumah PPR ialah berpendapatan tidak melebihi rm 1500.00 seisi keluarga yang sudah tidak ralevan lagi sekarang ini.

Mereka gagal berperanan sebagai wakil rakyat sebaliknya lebih bersifat mewakili taukey dan pemaju. Pro kapitalis yang merampas hak rakyat .

Dimana janji yang dilaungkan sebelum ini, Manifesto yang gah itu hanyalah janji kosong gula-gula menjelang PRU sahaja. Terbukti budaya politik persepsi ini akhirnya memangsakan rakyat.

PAS menyeru semua pihak baik pertubuhan parti atau NGO sama-sama bangkit membela penduduk Melayu yang dizalimi kerajaan DAP ini. Pihak berwajib, Zakat juga diseru untuk turut membantu penduduk Melayu Islam yang menjadi mangsa pengusiran ini. Sanggupkah kita membiarkan saudara seagama kita diperlakukan demikian? Makan pakai tidak menentu, tidur di kawasan lapang dan keadaan isteri dan anak tidur di kawasan terbuka dengan aurat terdedah kepada umum. Tiada khemah dan ruang tidur yang sesuai. Di mana sensitiviti kita sebagai seorang Muslim?

Dalam usaha menangani isu ini, PAS Pulau Pinang telah bertemu pimpinan kerajaan negeri bagi membincangkan masalah ini, namun tiada kata sepakat yang boleh dibuat apabila pihak kerajaan DAP berkeras bahawa tiada rundingan boleh dibuat masa ini.

PAS Pulau Pinang dengan ini menggesa pihak berwajib segera selesaikan isu ini secepat mungkin. Rakyat tidak sepatutnya dimangsakan. Antara penyelesaian yang boleh dicapai adalah memberi kebenaran mendiami semula kediaman dan memperbaharui semula syarat penempatan supaya isu ini dapat diselesaikan dengan baik.

Gesaan ini dibuat oleh Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff dan disambut laungan takbir oleh NGO yang turut hadir membantu penduduk yang menjadi mangsa semalam.