Home Berita PAS Terengganu

Kerajaan nafi penjualan pulau di Terengganu

66
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri menegaskan bahawa tidak ada pulau di Terengganu yang dijual kepada individu mahupun kepada syarikat tertentu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim menjelaskan bahawa Terengganu mempunyai 26 pulau, di mana 13 daripadanya diwartakan sebagai Taman Laut dan ada yang diwartakan sebagai Taman Negeri.

“Pulau-pulau ini tidak dimiliki sepenuhnya oleh mana-mana pihak. Tanah di pulau-pulau tersebut adalah tanah negeri kecuali tanah yang telah diberikan milik kepada individu atau syarikat di pulau-pulau yang mempunyai penduduk seperti Pulau Perhentian dan Pulau Redang.

“Pengurusan tanah di pulau adalah setara dengan pengurusan tanah di daratan, semuanya berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri,” katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya semalam.

Dr Azman berkata Kerajaan Negeri tidak pernah membincangkan sebarang agenda untuk menjual pulau.

Beliau turut mengingatkan bahawa jika terdapat iklan yang menawarkan pulau untuk dijual di Terengganu, perkara tersebut harus disiasat dengan teliti kerana ia mungkin menunjukkan masalah yang lebih serius.

“Bagi individu yang berminat untuk memiliki tanah di pulau, saya mencadangkan mereka mencari tanah di pulau-pulau seperti Pulau Rusa, Pulau Kerengga, Pulau Kambing, Pulau Bahagia, Pulau Serai, Pulau Skepeng, Pulau Kekabu, dan beberapa pulau lain yang mungkin tersedia untuk tujuan tertentu.

“Dengan penjelasan ini, diharapkan kekeliruan mengenai penjualan pulau di Terengganu dapat dijernihkan dan masyarakat dapat memperoleh maklumat yang tepat,” ujarnya.