DUNGUN – Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, kerajaan meneruskan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri 2025 bagi memastikan kestabilan harga barangan keperluan utama.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu, Ariffin Deraman berkata, pelaksanaan skim ini telah bermula hari ini dan akan berkuat kuasa sehingga 7 April 2025.
“Jadi ia akan meliputi tempoh selama 15 hari iaitu tujuh hari sebelum hari perayaan, satu hari pada hari perayaan, dan tujuh hari selepas perayaan.
“Sebanyak 24 jenis barangan telah diwartakan di bawah skim ini bagi peringkat negeri Terengganu, meningkat berbanding 20 barangan pada tahun lalu.
“Antara tambahan baharu bagi tahun ini ialah bawang merah kecil India, bawang merah kecil India (ros), lobak merah dan santan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran SHMMP di Sabasun cawangan Dungun, petang semalam.
Turut hadir Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri Terengganu, Mohd Mufsi Lat dalam menyempurnakan majlis itu.
Beliau menjelaskan bahawa harga barangan telah dipantau di pasar raya dan kedai di sekitar Terengganu, termasuk di Sabasun Cawangan Dungun, bagi memastikan ia tidak melebihi harga runcit yang telah dicadangkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Sebagai contoh, harga daging lembu tempatan ditetapkan pada RM39 sekilogram, dan harga santan yang sebelum ini dijual sehingga RM20 kini dikawal pada RM17.50.
“Isu bekalan beras juga mendapat perhatian apabila stok beras tempatan dijual secara terbuka di pasaran seperti yang kita boleh pada hari ini.
“Kita dapat lihat beras tempatan keluaran Pokok Sena, Kedah, dijual pada harga siling RM26, dan harga ini dipatuhi oleh pihak peruncit.
SHMMP dikuatkuasakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011, yang membolehkan penetapan harga dilakukan di peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit. Semua peniaga diwajibkan menggunakan label merah jambu bagi menandakan barangan yang tertakluk di bawah skim ini.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan peniaga agar mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi mengelakkan tindakan undang-undang.
“Mana-mana peniaga yang melanggar peraturan skim ini boleh dikenakan tindakan tegas dan penalti mengikut peruntukan yang terdapat dalam AKHAP 2011,” tegasnya.