Home Berita PAS Terengganu

Kerajaan kaji tindakan golongan anti vaksin

161
SHARE

Oleh: Nur ‘Afini Yahaya
KUALA TERENGGANU, 12 Ogos – Kerajaan akan mengkaji latar belakang golongan yang menolak vaksin dan kaedah tindakan yang akan diambil kepada golongan berkenaan bagi mencapai sasaran imuniti kelompok (herd immunity) seawalnya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, untuk tujuan itu, kerajaan sedang menimbang untuk mewajibkan suntikan vaksin Covid-19 secara mandatori kepada seluruh rakyat Malaysia menjelang Oktober ini.

“Perkara ini akan diputuskan kerajaan selewat-lewatnya bulan depan sebaik kajian ke atas golongan yang menolak vaksin atau anti vaksin selesai sepenuhnya,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi Taman Tamadun Islam (TTI), hari ini.

Muhyiddin tiba di sini, jam 4.18 petang tadi bagi memulakan kawatan kerja di Terengganu.

Hadir sama dalam lawatan tersebut, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Timbalan Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi, Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Tambahnya, sekiranya dilaksanakan kelak, individu yang enggan menerima suntikan dos vaksin Covid-19 boleh dikenakan hukuman mengikut undang-undang sedia ada.

“Kita akan mengkaji terlebih dahulu jika kumpulan anti-vaksin ini tidak mahu menerima vaksin kerana berpenyakit atau sengaja tidak percaya dengan vaksin.

“Dengan pelbagai varian seperti Delta, penerima vaksin juga boleh dijangkiti disebabkan mereka (anti-vaksin) yang kemudian memberi masalah kepada negara,” katanya.

Selain itu, Muhyiddin berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan secara serius untuk menjadikan vaksin Covid-19 sebagai mandatori bagi memastikan imuniti berkelompok boleh dicapai.