Home Berita PAS Terengganu

Kerajaan gagal: Kaji selidik buktikan lonjakan kemarahan rakyat

20
SHARE

Dapatan badan kaji selidik bebas, Merdeka Center, ke atas 1,220 responden seluruh negara dari 4 Oktober ke 24 Oktober menunjukkan selepas setahun Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri semakin ramai rakyat yang marah kepada beliau dan Kerajaan PH-BN.

Dalam kaji selidiknya ke atas 1,209 responden seluruh negara dari 26 Disember 2022 ke 15 Januari 2023, waktu mula-mula Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, didapati:
(1) Hanya 29% responden berpendapat bahawa negara berada pada hala tuju yang salah,
(2) Hanya 25% responden tidak berpuas hati atau marah dengan prestasi Kerajaan PH-BN, dan
(3) Hanya 19% responden tidak berpuas hati dengan prestasi Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri

Bagaimanapun, dalam kaji selidiknya terbaru sekarang, didapati:
(1) Bilangan responden yang berpendapat bahawa negara berada pada hala tuju yang salah naik mendadak menjadi 60%, jauh mengatasi mereka yang yang berpendapat bahawa negara berada pada hala tuju yang betul, iaitu 31%,
(2) Bilangan responden yang tidak berpuas hati atau marah dengan prestasi Kerajaan PH-BN naik mendadak menjadi 48%, mengatasi mereka yang berpuas hati, iaitu 41% dan
(3) Bilangan responden yang tidak berpuas hati dengan prestasi Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri naik mendadak menjadi 43%.

Hanya dalam tempoh setahun populariti Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan PH-BN menjunam begini teruk. Tidak pernah dalam sejarah negara begitu cepat sekali perasaan gembira dan teruja rakyat bertukar menjadi perasaan marah dan tidak berpuas hati.

Ini jauh lebih teruk dari zaman Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri di bawah Kerajaan PN dahulu kerana selepas setahun Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri kaji selidik Merdeka Center ke atas 2,111 responden seluruh negara dari 31 Mac ke 12 April 2021 menunjukkan hanya 46% responden yang berpendapat bahawa negara berada pada hala tuju yang salah pada waktu itu, berbanding 60% responden yang berpendapat bahawa negara berada pada hala tuju yang salah sekarang. Malah bilangan responden yang berpuas hati dengan prestasi Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri pada waktu itu adalah 67%, jauh mengatasi bilangan responden yang berpuas hati dengan prestasi Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri pada waktu sekarang, iaitu hanya 50%.

Ini juga jauh lebih teruk dari zaman PH menjadi Kerajaan di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamed kerana selepas setahun Tun Dr Mahathir Mohamed menjadi Perdana Menteri kaji selidik Merdeka Center ke atas 1,204 responden seluruh negara dari 5 Mac ke 11 Mac 2019 juga menunjukkan hanya 46% responden yang berpendapat bahawa negara berada pada hala tuju yang salah pada waktu itu, berbanding 60% responden yang berpendapat bahawa negara berada pada hala tuju yang salah pada waktu sekarang.

Semua ini adalah bukti bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan PH-BN adalah Perdana Menteri dan Kerajaan yang gagal. Prestasi Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan PH-BN malah jauh lebih teruk berbanding prestasi Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kerajaan PN serta prestasi Tun Dr Mahathir Mohamed dan Kerajaan PH.

Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan PH-BN patut segera sedar dan menerima hakikat mengenai penolakan semakin kuat rakyat ke atas mereka. Saya yakin penolakan semakin besar rakyat ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan PH-BN akan turut diterjemahkan oleh pengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman pada 2 Disember nanti.

Inilah pesanan rakyat kepada kamu: Segera berubah atau kamu akan rebah!

Ustaz Hj Idris Ahmad
Naib Presiden PAS