Home Berita PAS Terengganu

Kerajaan digesa pertimbang peruntukan khas jayakan Kad Sejahtera

15
SHARE

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan digesa untuk mempertimbangkan peruntukan khas sebanyak RM5 juta bagi membolehkan program Kad Sejahtera Terengganu diteruskan demi manfaat golongan rentan dan B40 di negeri itu.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Alias Razak berkata, skim berkenaan yang pernah diperkenalkan sebelum ini namun terpaksa dihentikan berikutan kekangan berkait pembayaran royalti petroleum.

“Sebelum ini, Terengganu ada membuat skim yang hampir sama iaitu Kad Sejahtera, tetapi oleh kerana kekangan kewangan negeri, ia terpaksa dihentikan.

“Pihak kerajaan negeri telah memohon secara rasmi kepada Menteri Kesihatan untuk diberi peruntukan khas sekitar RM5 juta setahun bagi skim ini, yang melibatkan 20,000 keluarga golongan rentan dan B40,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan isu beban kerja tinggi yang menjadi punca ramai jururawat kerajaan berhijrah ke sektor swasta atau berhenti kerja.

“Maklumat yang diberikan kepada kita setakat 31 Disember 2024 menunjukkan masih ada 14,731 kekosongan jawatan jururawat yang belum diisi.

“Berdasarkan kenyataan Menteri Kesihatan pada Julai tahun lepas, seramai 2,445 jururawat telah memohon untuk berhenti kerja, sama ada untuk ke luar negara atau ke sektor swasta,” ujarnya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan mengenai cadangan kerajaan untuk menambah waktu bekerja jururawat.

“Cadangan untuk menambah waktu bekerja daripada 42 jam kepada 45 jam seminggu akan menambahkan lagi beban kepada jururawat kita.

“Selain itu, kenaikan premium insurans kesihatan serta pelaksanaan sistem copayment akan menyebabkan lebih ramai pesakit beralih ke hospital kerajaan, yang akhirnya akan meningkatkan tekanan kepada sektor awam,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyokong inisiatif kerajaan memperkenalkan Skim Perubatan Madani.

“Usaha ini sangat baik kerana sebahagian pesakit boleh dialihkan ke sektor swasta. Bila mereka mendapat rawatan awal di sektor swasta, tahap kesihatan primer dapat dipertingkatkan dan bilangan pesakit yang perlu dimasukkan ke hospital dapat dikurangkan.

“Namun, adakah kerajaan bersedia untuk memperluaskan Skim Perubatan Madani ke seluruh negara? Setakat ini, ia hanya melibatkan 10 daerah sahaja,” soalnya.