Home Berita PAS Wilayah

Kerajaan Digesa Lebih Tegas Tangani Penghinaan Terhadap Agama Islam

617
SHARE

 

Kenyataan Media DPPWP;
KERAJAAN DIGESA LEBIH TEGAS TANGANI PENGHINAAN TERHADAP AGAMA ISLAM

1. Peningkatan kes-kes penghinaan terhadap agama Islam semakin membimbangkan sejak akhir-akhir ini. Terbaru melibatkan suatu status laman muka buku “Wendy Loong” yang jelas menghina Nabi SAW dan Islam.

2. Amat mendukacitakan kes-kes ini kelihatan semakin berleluasa dengan pihak-pihak tidak bertanggungjawab semakin berani menonjolkan penghinaan yang berbaur provokatif terhadap umat Islam.

3. Penghinaan tersebut seolah-olah sengaja dilakukan bagi mencetuskan keadaan tidak tenteram dalam kalangan masyarakat khususnya orang Islam serta boleh mengikis keutuhan sosial dalam negara kita.

4. Meskipun kita mempunyai undang-undang yang berkaitan termasuklah Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA), malah ia juga boleh melibatkan Akta Hasutan 1948 yang mengalami pindaan terakhir pada 2015 iaitu penambahan klausa “promote feelings of ill will, hostility or hatred…on the ground of religion”, namun ia dilihat gagal mengekang penghinaan yang semakin berleluasa di media sosial.

5. Persoalannya, adakah undang-undang hari ini masih longgar dan tidak mampu memberi cegah rintang (deterrent) terhadap kes-kes sebegini?

6. Saya menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Polis Diraja Malaysia, dan JAKIM mengambil suatu langkah drastik yang bersepadu bagi mengekang perkara sebegini daripada terus berulang pada era Malaysia Baru.
Malah, saya juga berpandangan kesalahan penghinaan atas nama agama, kaum dan raja-raja perlu digolongkan dalam senarai “jenayah siber” selain bersifat penipuan kewangan dan perlu dibanteras secara besar-besaran.

MUHAMMAD RASHIDI ABDUL RAZAK
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan
26 Julai 2019