Home Berita PAS Terengganu

Kerajaan Digesa Kaji Semula Projek ‘Juta-Juta’ Termasuk Sungai Chepoh

5
SHARE

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato’ Rosol Wahid, menggesa kerajaan pusat agar menilai semula pelaksanaan beberapa projek bernilai jutaan ringgit di kawasan Hulu Terengganu yang didakwa tidak memberi kesan langsung kepada rakyat setempat.

Menurutnya, pembangunan yang dirancang mesti memberi impak sebenar dan menyelesaikan masalah rakyat, bukannya sekadar menghabiskan peruntukan tahunan tanpa hasil yang jelas.

Gesaan itu disuarakan semasa beliau membahaskan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, dengan menumpukan kepada isu Projek Naik Taraf Sungai Chepoh oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Rosol berkata, projek berkenaan menerima bantahan besar daripada penduduk Kampung Nasi, Kampung Chepoh serta Kampung Getah Hulu dan Hilir, kerana dikatakan tidak menyelesaikan masalah banjir malah melibatkan pengambilan kira-kira 100 lot tanah milik penduduk.

“Saya bangkitkan isu ini kerana ia membabitkan nasib rakyat. Projek tersebut bukan sahaja gagal mencapai matlamat asal, malah menjejaskan tanah dan kediaman penduduk tempatan. Mengapa permohonan mereka untuk penyelesaian banjir sebenar diabaikan?,” tegasnya.

Beliau menegaskan, suara rakyat perlu diutamakan dan setiap projek yang dilaksanakan di Hulu Terengganu wajar melalui kajian mendalam bagi memastikan manfaatnya sampai kepada penduduk yang terkesan secara langsung.