KUALA TERENGGANU – Kerajaan Persekutuan melalui kementerian berkaitan digesa agar segera membaiki Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Jeli-Gerik, dengan memberikan tumpuan khusus kepada kawasan titik panas yang sering menjadi lokasi kemalangan.
Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jika tidak dapat dilakukan secara menyeluruh, kerja-kerja pembaikan boleh dilaksanakan secara berfasa, asalkan dimulakan segera di kawasan yang berisiko tinggi.
“Ia memerlukan penguatkuasaan di peringkat kementerian, dan tindakan ini perlu diambil dengan serius, terutama di titik-titik panas tertentu.
“Bukannya selepas berlaku kemalangan barulah hendak dipasang lampu, diletakkan label amaran atau dibaiki penghadang jalan yang sebenarnya telah lama berbahaya.
“Dari sekarang, perlu dilakukan audit menyeluruh terhadap semua aspek keselamatan jalan raya di laluan ini.
“Kalau pihak Kerajaan Persekutuan atau kementerian berkenaan tidak mampu melaksanakannya secara serentak, buatlah secara berfasa.
“Fokuskan dahulu kepada kawasan yang sering berlaku kemalangan,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sijil Pelantikan Yang Dipertua, Naib Yang Dipertua dan Ahli-Ahli Majlis Pengakap Negeri Terengganu serta Pesuruhjaya Kehormat Pengakap Negeri Terengganu, yang berlangsung di Dewan Jamuan, Tingkat 18, Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri menyatakan bahawa cadangan untuk menutup laluan JRTB pada waktu malam bukanlah satu penyelesaian yang wajar sekiranya dilaksanakan tanpa penelitian menyeluruh.
“Apabila orang ramai hendak pulang, banyak pertimbangan yang perlu diambil kira. Kita tidak boleh menyatakan bahawa memandu pada waktu siang menjamin keselamatan sepenuhnya.
“Kerana struktur jalan dan keadaan fizikal laluan ini, sama ada siang atau malam, tetap berisiko. Walaupun kita akui bahawa pemanduan pada waktu malam memerlukan lebih berhati-hati, namun ia bukanlah satu-satunya penyelesaian,” ujarnya.