Home Berita PAS Terengganu

Kerajaan bina baru rumah mangsa kebakaran

146
SHARE

KEMAMAN – Kerajaan negeri membina semula tujuh buah rumah untuk mangsa yang terjejas dengan tragedi kebakaran di Taman Islam Kampung Bakau Tinggi baru-baru ini

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata kerajaan Terengganu telah memperuntukkan sebanyak RM420,000 bagi pembinaan rumah tersebut.

Katanya, rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) ini bernilai RM60,000 bagi setiap sebuah yang akan dibina mulai Mac depan.

“Pembinaan projek rumah PPRT tersebut dijangka mengambil masa dua bulan dan tujuh keluarga ini dijangka dapat mendiami rumah baharu menjelang Aidilfitri.

“Sumbangan awal sebanyak RM2,000 juga telah diserahkan untuk setiap ketua keluarga,” katanya ketika dihubungi pemberita pada Rabu.

Terdahulu, tujuh rumah di Taman Islam Kampung Bakau Tinggi musnah dalam kebakaran yang berlaku kira-kira 7.40 pagi menyebabkan 32 penghuninya hilang tempat tinggal, namun tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Tambah Hanafiah, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menguruskan tempat tinggal sementara selain menyediakan makanan untuk keluarga terbabit.

Beliau berkata, pihaknya telah mengarahkan JKM Kemaman untuk menyediakan kertas laporan untuk diangkat kepada Tabung Darul Iman (TDI) untuk melihat bantuan lain yang boleh disalurkan kepada mangsa mengikut keperluan dan kesesuaian.