Home Berita PAS Terengganu

Kerajaan bantu urus jenazah, sedia keperluan keluarga mangsa nahas bot

13
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri Terengganu menerusi Pejabat Menteri Besar membantu menguruskan jenazah dan menyediakan segala keperluan kepada keluarga mangsa tragedi bot pelancong yang terbalik di perairan Pulau Perhentian, Sabtu lalu.

Pegawai Khas kepada Menteri Besar Terengganu, Dr. Balachandran Gopal Krishnan berkata, pihaknya turut menyelaraskan bantuan keperluan, penginapan serta sokongan emosi kepada keluarga mangsa sepanjang tempoh rawatan dan pengurusan jenazah.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada Pasukan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), diketuai Dr Siti Wira Md Yaro, atas kecekapan dan dedikasi mereka dalam menguruskan proses pengesahan dan pengurusan jenazah mangsa.

“Pasukan Mental Health and Psychosocial Services (MHPSS) yang diketuai oleh Dr. Husni Zaim Ab Latiff juga memainkan peranan penting dalam memberikan bantuan awal psikologi (psychological first aid) dan sokongan emosi kepada keluarga mangsa yang sedang melalui detik penuh trauma,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menziarahi seorang mangsa yang masih dirawat, Sakthivel Tamil Selvan, 6 tahun, yang kini berada dalam keadaan stabil dan ditemani oleh ibu bapanya di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Tiga mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai Arumugam Sativelo, 40, dan anak perempuannya, Sarrvihka Arumugam, 3, kedua-duanya dari Butterworth, Pulau Pinang serta Vennpani Vijeya Raj, 10, dari Sungai Petani, Kedah.

Menurut beliau, jenazah telah dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing dengan bantuan penyelarasan pihak hospital dan kerajaan negeri.

“Terima kasih juga kepada semua petugas barisan hadapan, pasukan penyelamat, forensik, kesihatan dan kebajikan yang telah bertugas tanpa mengenal penat lelah dalam misi menyelamat dan bantuan krisis ini. Jasa kalian amat dihargai,” tambahnya.

Sebelum ini, media melaporkan kejadian kira-kira jam 10.30 malam pada Sabtu lalu apabila sebuah bot pelancong yang membawa 15 penumpang berusia antara tiga hingga 40 tahun terbalik selepas dipukul ombak besar ketika dalam perjalanan pulang dari Pulau Perhentian Kecil.

Seramai 11 mangsa lain dilaporkan terselamat dan kini menerima rawatan di Hospital Besut.