Home Berita PAS Terengganu

Kerajaan Ambil Alih Kuala Kijal Bela Nasib Nelayan

16
SHARE

Kerajaan negeri mengambil langkah proaktif dengan mengambil alih kawasan Kuala Kijal sebagai usaha membela nasib para nelayan dan memelihara alam sekitar di kawasan berkenaan.

Kuala Kijal merupakan kawasan strategik yang menjadi nadi ekonomi komuniti nelayan setempat, terutamanya di sekitar Kampung Penunjuk dan Kampung Che Wan, yang bergantung sepenuhnya kepada hasil laut sebagai sumber pendapatan utama.

Pada zaman kerajaan terdahulu, tanah ini telah dipajak kepada Resort World Awana selama 90 tahun, dan kini telah berlalu 30 tahun. Jika kerajaan ingin mengambilnya semula, pampasan perlu dibayar.

Namun, kini kerajaan berjaya mendapatkan semula tanah ini dengan cara tertentu.

Dengan pengambilalihan ini, nelayan kini mempunyai akses lebih baik kepada sumber rezeki, dan pantai Kijal akan kekal terpelihara untuk generasi akan datang.

Sebelum ini, nelayan dibenarkan mencari rezeki di situ, tetapi mereka menghadapi pelbagai cabaran. Antaranya, kekurangan infrastruktur yang sesuai kerana tiada tempat parkir bot yang selesa serta kemudahan asas untuk nelayan.

Selain itu, mereka sering berdepan masalah muara tertutup akibat pasir yang berkumpul dari Kampung Che Wan dan Penunjuk Kijal, menyebabkan laluan keluar masuk bot terganggu.

Disebabkan hal ini, kerajaan tidak dapat menggunakan bajet rasmi untuk membuka muara tersebut, menyebabkan nelayan terpaksa bergotong-royong serta mengeluarkan wang sendiri bagi menyelesaikan masalah ini.

Layout kawasan Kuala Kijal selepas proses pengukuran

Resort Awana hanya menjalankan program CSR sekali setahun, sedangkan muara tertutup sebanyak dua hingga tiga kali setahun, menjadikan bantuan tersebut tidak mencukupi.

Beban kewangan ke atas nelayan semakin berat kerana jika mereka ingin mempercepatkan proses membuka laluan, mereka perlu mengeluarkan wang sendiri. Oleh itu, kerajaan mengambil tindakan untuk membetulkan keadaan dan memastikan kebajikan nelayan terbela.

Mengapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris memperjuangkan pengambilalihan ini? Hal ini kerana terdapat dua sebab utama yang mendesak kerajaan mengambil langkah tersebut.

“Pertama, pembinaan struktur pemecah ombak (breakwater) yang bukan sahaja memberikan perlindungan kepada bot nelayan daripada ombak besar, tetapi juga menyediakan kawasan parkir bot yang lebih selamat.

“Kedua, keperluan untuk mengawal hakisan pantai yang semakin serius di Penunjuk dan Kampung Che Wan, dengan kehilangan tanah antara tujuh hingga sepuluh kaki setiap tahun,” katanya dalam kenyataan media pada hari ini.

Tambahnya lagi, dengan adanya breakwater, hakisan dapat dikawal, sekali gus memelihara keindahan pantai di Kijal.

Muhammad Hafizuddin Rosli/Wartawan TRDI