Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Kerahan Solat Hajat dan Qunut Nazilah

1,605 views
SHARE

Kerahan Solat Hajat dan Qunut Nazilah

1. Pasca PRU-14 seolah-olah semakin hangat terasa di saat Parti Islam Se-Malaysia (PAS) berjaya mentadbir negeri Kelantan dan Terengganu. Segala tohmahan fitnah, ejekan, cacian yang bertali-arus dan bertubi-tubi tak pernah henti dari segenap sudut terus menyerang pimpinan PAS dan menggoyahkan ahli.

2. Oleh itu, saya mewakili seluruh kepimpinan Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) dengan penuh rendah hati menyeru seluruh penggerak terutama Muslimat PAS seluruh Malaysia agar rapatkan saff dan terus bermunajat kepada Allah.

3. Muslimat PAS sangat berharap setiap penggerak untuk melakukan Solat Hajat terutama sepanjang bulan Ramadan ini. Gunakanlah masa di sepertiga malam untuk merintih, menangis dan memohon keampunan dan hajat kita pada Allah Yang Maha Kuasa.

4. Selain itu, bacaan Qunut Nazilah juga mesti dilazimi sebaiknya setiap kali selepas solat Fardhu, niatkan semoga Allah S.W.T memelihara PAS dan menguatkan kita semua dalam menghadapi hari-hari yang mendatang di samping kita tidak melupakan derita mangsa kekejaman Zionis di Palestin.

5. Gunakan kesempatan bulan Ramadan ini untuk memperbanyakkan doa kerana sesungguhnya terlalu banyak waktu mustajab doa di dalamnya iaitu di sepertiga malam, waktu bersahur, menjelang berbuka, sepanjang hari berpuasa, ketika Azan, antara Azan dan Iqamah serta ketika sujud dalam solat.

6. Ingatlah doa merupakan senjata bagi orang yang beriman, di kala kita tidak mempunyai apa-apa daya dan kekuatan, berserahlah hanya pada Allah dengan sepenuh hati semoga Allah akan menjaga Jemaah yang kita sayangi ini, serta menguatkan seluruh ahli dan pendokongnya agar terus-menerus dalam perjuangan ini.

NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
20 Mei 2018 bersamaan 4 Ramadan 1439