Home Berita PAS Pahang

Kerahan bersiap hadapi risiko banjir di Pahang

105
SHARE

Oleh SHARIFAH UMI

KUANTAN : Pasukan Khidmat Malaysia (KM) dan Jabatan Amal Malaysia Negeri Pahang (JAMNP) dikerah membuat persiapan secara menyeluruh bagi menghadapi risiko banjir di Pahang susulan Monsun Timur Laut.

Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Rosli Abdul Jabar dalam tulisannya telah mengarahkan kedua entiti tersebut bersiap siaga supaya bantuan kepada mangsa banjir dapat dilakukan secara terancang, cepat dan efektif ketika banjir dan selepasnya.

Beliau menekankan JAMNP dan KM perlu membuat persediaan bukan hanya dalam aspek membantu ketika berlakunya banjir bahkan keperluan dana mesti dikumpulkan dengan kadar yang segera.

Selain itu beliau menegaskan satu rangka kerja yang terancang dan tersusun perlu diambil tindakan segera oleh kedua-dua pihak.

JAMNP dan KM sebelum ini telah menggerakkan lebih 1 000 anggota sukarelawan membantu mangsa banjir.

Selain memberi perkhidmatan memindahkan mangsa ke tempat yang selamat, JAMNP dan KM juga telah membuat penghantaran makanan kepada mangsa yang terkandas dan memindahkan barangan mangsa banjir.

Manakala bantuan selepas banjir pula berupa operasi pemulihan rumah mangsa seperti khidmat mencuci rumah serta edaran barangan keperluan harian mangsa.

Selain itu khidmat rawatan emosi dan kaunseling juga telah diberikan kepada mangsa yang terlibat.

Pada Disember tahun lalu, negeri Pahang telah mencatatkan banjir terburuk di beberapa daerah dengan jumlah hampir 40 000 orang mangsa.