Home Kenyataaan Media PAS Perak

Kenyataan Media PAS Perak | Bersyukur dan bersederhana, teruskan jihad

106
SHARE

KENYATAAN MEDIA PAS PERAK
BERSYUKUR DAN BERSEDERHANA, TERUSKAN JIHAD

PAS Perak mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri buat seluruh warga negeri Perak. Tahniah kepada kaum muslimin yang telah menyempurnakan ibadah puasa dan merebut kelebihan Ramadan selama sebulan. Ia merupakan satu perjuangan besar menghadapi hawa nafsu.

Ramadan adalah bulan perjuangan dan pentarbiahan manakala Syawal adalah bulan kemenangan. Bagi mereka yang telah berjuang bersungguh-sungguh, Allah menjanjikan kemenangan yang besar. Perjuangan menuntut kesungguhan dan kesabaran.

PAS Perak menyedari cabaran getir yang dihadapi kaum Muslimin khususnya dalam keadaan tekanan hidup yang meningkat mendadak. Harapan yang diletakkan kepada kerajaan untuk menyelesaikan masalah kos sara hidup dan harga barang yang tinggi ternyata gagal. Pengumuman penurunan harga barang terutama makanan sebagai persediaan hari raya yang dinantikan rakyat sangat mengecewakan apabila harga simen pula yang turun. Kekecewaan itu dizahirkan rakyat melalui sindiran pelbagai kuih berasaskan simen.

Sebagai sebuah gerakan politik bersendikan Islam, PAS Perak menyeru agar Aidilfitri ini disambut penuh kesyukuran dan kesederhanaan. Biarpun Ramadan telah berlalu namun semangat perjuangan jihad Ramadan mestilah terus disemarakkan. Seruan perpaduan dan penyatuan umat Islam mesti menjadi keutamaan. Hanya Islam mampu menyatukan perbezaan antara kita.

Semoga Allah mengurniakan kemenangan buat Islam dan mereka yang mengharapkan keadilan Islam di negeri Perak dan seluruh negara. Jadikan sambutan ini medan mengukuhkan persaudaraan Islam dan toleransi agama dalam masyarakat majmuk seperti tuntutan Islam.

Semoga Allah menerima amalan kita bersama. Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin dari PAS negeri Perak.

“ MALAYSIA SEJAHTERA ”

YB HAJI RAZMAN BIN ZAKARIA
PESURUHJAYA PAS PERAK
1 SYAWAL 1444H