Home Kenyataan Media PAS Wilayah

Kenyataan Media Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Kluster Tempat Kerja : Kerajaan Perlu Tegas

30
SHARE

1. Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan memandang serius isu kluster tempat kerja khususnya sektor perkilangan dan perindustrian yang terus mencatatkan peningkatan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula 1 Jun yang lalu.
2. Data daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan kluster tempat kerja mengalami peningkatan 16.3 peratus dalam tempoh minggu pertama dan kedua pelaksanaan PKP.
3. Lebih parah lagi, pemerhatian terhadap 3 hari terakhir (15-17 Jun 2021) menunjukkan 37 daripada 63 kluster baharu adalah berkait secara langsung dengan sektor perkilangan dan perindustrian.
4. Semalam iaitu pada 17 Jun sahaja, 17 daripada 25 kluster baharu adalah daripada sektor yang sama dengan 6 daripada kluster tersebut daripada Negeri Selangor.
5. Kesemua statistik ini mendedahkan wujud kelompangan terhadap ketegasan Kerajaan untuk melandaikan lekuk kes wabak COVID-19 ketika ini.Malah, ia juga mendorong indikator utama mengurangkan kes semasa jauh daripada apa yang kita harapkan.
6. Oleh itu, DPPWP menggesa supaya Kerajaan khususnya MKN mengambil perhatian terhadap perkara berikut:
i. Meneliti semula kebenaran pengoperasian kilang-kilang dan tapak industri yang ‘non-essentials’.
ii. Menutup sektor perkilangan ‘non-essentials’ tanpa ada kompromi.
iii. Menggembleng penguatkuasaan di kawasan perkilangan dan tapak perindustrian yang menjadi tumpuan kes.
iv. Mengenakan kompaun maksimum terhadap pengusaha kilang dan perindustrian yang bermudah-mudah melanggar SOP.
7. DPPWP berharap Kerajaan tidak hanya memandang sebelah mata terhadap peningkatan kes-kes daripada sektor perkilangan dan perindustrian ini. Kegagalan mengawal peningkatan kes daripada sektor ini akan mengakibatkan langkah pemulihan tidak mencapai sasaran yang sepatutnya.
Pastinya keadaan sedekian akan menimbulkan kekecewaan dan kemarahan dalam kalangan rakyat yang terpaksa duduk diam sahaja di dalam rumah tetapi kes tetap naik kerana kegagalan mengekang kluster tempat kerja.
Bertindaklah dengan segera, tegas dan adil tanpa memilih bulu.
Mohammad Rashidi Abdul Razak
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan
18 Jun 2021