Home Artikel PAS Selangor

KENYATAAN AKHBAR PAS KAWASAN SUNGAI BULOH MENJAWAB TUDUHAN MENTERI BESAR SELANGOR (24 SEPTEMBER 2019)

95 views
SHARE

KENYATAAN AKHBAR PAS KAWASAN SUNGAI BULOH
MENJAWAB TUDUHAN MENTERI BESAR SELANGOR
(24 SEPTEMBER 2019)

Sebagai respon kepada kenyataan Menteri Besar berkenaan terdapat golongan yang menangguk di air keruh serta tuduhan pihak kerajaan, banjir adalah berpunca daripada kedegilan penduduk, maka PAS Kawasan Sungai Buloh (PAS Kawasan) menyatakan pendirian kami sebagaimana berikut:

1. PAS secara konsisten membantah pencerobohan tanah kerajaan yang memberikan kesan buruk kepada kepentingan awam seperti banjir, pencemaran dan seumpamanya.

2. PAS Kawasan Sungai Buloh (PAS Kawasan) juga secara konsisten terlibat membantu penduduk yang dirobohkan atas dasar kemanusian bukan menangguk di air keruh sebagaimana dakwaan YAB Menteri Besar Selangor yang disiarkan oleh portal Malaysiakini bertarikh 19 September 2019. Jika PAS menangguk di air keruh, nescaya PAS akan cuba menghalang rundingan pihak penduduk dengan pihak kerajaan sebelum perobohan, sebaliknya PAS menggesa dan menyokong pihak penduduk berunding dengan kerajaan sebagaimana yang terjadi pada 4 September 2019. PAS turut bergembira dengan keputusan penangguhan perobohan yang terhasil dari perbincangan tersebut. Jika PAS Kawasan ingin menangguk di air keruh sebagaimana tuduhan YAB Menteri Besar, nescaya PAS adalah golongan yang paling berdukacita bila berlaku rundingan dan penangguhan.

3. Mendengar tangisan anak-anak kecil, ibu-ibu yang merintih, ada bapa yang digari, tiada tempat berteduh selepas perobohan, jerebu yang teruk, hujan yang melanda di sebelah petangnya, menjadikan penduduk mangsa roboh tiada pembelaan dan boleh berlakunya krisis kemanusiaan. Suasana ini memaksa PAS bersama-sama penduduk tempatan membantu, melindungi dan menyediakan makanan kepada mereka sehingga mereka betul-betul stabil dan trauma mereka hilang. Sekalipun pihak kerajaan melabelkan pihak yang membantu penduduk ini sebagai menangguk di air keruh, PAS konsisten untuk bersama-sama penduduk setempat membantu mereka-mereka yang lemah tanpa pembelaan.

4. Apabila PAS melihat mangsa roboh bukan sahaja menjadi mangsa tanpa pembelaan sewajarnya, tetapi PAS Kawasan juga dapati mereka difitnah sebagai pendatang tanpa izin serta degil enggan berpindah. Apa yang PAS Kawasan dapati ialah dokumen-dokumen jelas daripada pihak ADUN YB Khairuddin sendiri yang membantah pemindahan serta menggesa supaya terus menetap di situ. Surat bertarikh 12 Julai 2016 bertajuk “Bantahan Terhadap Sebarang Tindakan Perobohan Ke Atas 153 Buah Rumah Kediaman Di Kampung Paya Jaras Hiliir, Sungai Buloh”. Surat ini menggambarkan YB Khairuddin waktu itu membantah perobohan bukan meminta tangguh perobohan. Dalam Facebooknya bertarikh 3 Julai 2016 merakamkan kenyaaannya di tapak perobohan berbunyi: “jangan keluar dari rumah dan tunggu arahan saya selanjutnya!”. Semua kenyataan ini menjadikan penduduk berkeyakinan bahawa mereka terus berhak berada disitu sehingga notis bulan Ogos 2019 dikeluarkan supaya mereka mengosongkan rumah mereka dalam tempoh 30 hari.

Permintaan penduduk ialah tangguh sehingga bulan November 2019 bukan permintaan mereka untuk terus kekal di situ. Pihak Menteri Besar dan Adun Paya Jaras, beberapa exco kerajaan dan pemimpin PH yang lain menggambarkan seolah-oleh penduduk berkeras enggan berpindah sejak tahun 2015 sehingga sekarang serta melabelkan penduduk sebagai punca banjir (jika berlaku). Jika berlaku banjir, kerugian akibat projek yang tidak dijalankan, pihak PAS kawasan melihat ADUN Paya Jaras dan YAB Azmin Ali adalah turut terlibat kerana penangguhan itu dilihat berpunca daripada bantahan oleh YB Kharuddin sendiri melalui surat rasminya pada 12 Julai 2016.

PAS kawasan telah menghantar surat ‘by hand’ ke Pejabat YB Khairuddin untuk bertemu dan berbincang, malangnya didapati pejabatnya tutup dalam beberapa tarikh yang berkaitan. Maka atas dasar fakta yang diperolehi oleh pihak penduduk dan kegagalan untuk dibuktikan sebaliknya oleh pihak kerajaan dan ADUN Paya Jaras beserta kegagalan berhubung dengan disebabkan pejabat yang tertutup, maka PAS Kawasan berpendirian bahawa penduduk yang dirobohkan adalah teraniaya dan tertindas.

Di sini dilampirkan kepada umum sebagai penilaian print screen facebook YB Khairuddin pada 3 Julai 2016 beserta surat ADUN Paya Jaras kepada MB DS Azmin Ali bertarikh 12 Julai 2016.

Sekian.

ZAHARUDIN MUHAMMAD
Yang Dipertua PAS
Kawasan Sungai Buloh