Home Pahang

Kenyataan Ahli Parlimen Temerloh – Air untuk semua: Hak rakyat – Lindungi kesejahteraan wanita Pahang

74
SHARE

KENYATAAN RASMI AHLI PARLIMEN TEMERLOH

1 Julai 2025/ 5 Muharram 1447

Kenyataan Media Ahli Parlimen Temerloh – Air untuk semua: Hak rakyat – Lindungi kesejahteraan wanita Pahang

Sebagai Ahli Parlimen Temerloh, saya YB Hajah Salamiah Mohd Nor menegaskan bahawa air bersih dan mencukupi adalah hak asasi setiap rakyat, bukan kemewahan. Wanita  sebagai tunjang keluarga dan komuniti  adalah kelompok paling terkesan apabila berlakunya gangguan bekalan air.

Saya memandang serius isu gangguan air yang berlarutan di pelbagai kawasan negeri ini termasuk kampung tradisi, Felda, penempatan luar bandar serta taman-taman perumahan  yang telah menggugat kesejahteraan hidup wanita, ibu dan suri rumah.

Apabila air tiada, wanita paling menderita :

  • Ibu-ibu terpaksa mengurus keluarga dalam keadaan serba kekurangan.
  • Kebersihan rumah, penjagaan anak kecil, makanan dan pakaian terjejas.
  • Usahawan wanita seperti penjual makanan mengalami kerugian dan kehilangan punca pendapatan.
  • Masalah kebersihan wanita dan keselamatan anak-anak turut terganggu.

Ini bukan lagi soal keselesaan. Ini soal maruah, kesihatan, dan keselamatan wanita Pahang yang mesti dibela dan dipertahankan.

Sehubungan itu, saya mendesak dan menggesa dengan tegas agar pihak kerajaan dan agensi-agensi berkaitan segera mengambil tindakan berikut:

  1. Segerakan kerja-kerja baik pulih dan naik taraf loji rawatan air, sistem paip dan pam tekanan di semua kawasan yang terjejas tanpa lengah, tanpa alasan.
  2. Pastikan pelan agihan air kecemasan melalui lori tangki dilaksana secara adil, telus dan sistematik, dengan keutamaan kepada keluarga yang mempunyai anak kecil, warga emas dan wanita hamil.
  3. Tubuhkan pusat aduan khas wanita di setiap kawasan, agar suara wanita tidak tenggelam dan dapat terus disampaikan kepada pihak bertanggungjawab secara rasmi.
  4. Aktifkan komuniti wanita dengan kempen kesedaran, pemantauan setempat dan latihan penggunaan air secara berhemah  bukan sekadar serahan tugas kepada kerajaan semata.
  5.  Ambil tindakan tegas terhadap aktiviti pencemaran sumber air termasuk pencerobohan tanah, sisa perindustrian dan pembalakan yang rakus sebelum rakyat menjadi mangsa sekali lagi.

Saya menegaskan bahawa pengurusan air yang cekap adalah lambang keprihatinan sebenar kerajaan terhadap wanita, keluarga dan masyarakat.

Kami tidak akan berdiam. Kami akan terus bersuara  demi wanita, demi anak-anak, demi masa depan.

Air untuk semua. Hak rakyat. Hak wanita. Ini bukan kemewahan ini kewajipan.

 

YB Hajah Salamiah Mohd Nor

Ahli Parlimen Temerloh