Home Berita PAS Pusat

Kenduri Rakyat, Eratkan Persaudaraan

799
SHARE

1 September 2018, Kuala Lumpur : Program “Kenduri Rakyat” merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat (LKKPP) dan merupakan kesinambungan daripada program “Semarak Kasih Ramadhan”. Ianya dilaksanakan secara konsisten semenjak beberapa tahun yang lalu sekitar tahun 2012. Program ini tidak lain bertujuan mendekati serta meraikan masyarakat yang kurang berkemampuan. Ianya juga sejajar dengan tradisi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) semenjak dahulu lagi, iaitu dengan mendahulukan rakyat yang kurang berkemampuan melalui pelbagai program-program Kemasyarakatan dan Kebajikan di seluruh Malaysia yang tidak mengira sempadan agama, kaum, politik malah ianya tidak bermusim.

 

Bersesuaian juga dengan hadis Rasulullah SAW: Diriwayatkan, bahwa seorang pemuda bertanya kepada Rasululullah SAW, “Perbuatan apakah yang terbaik di dalam agama Islam? Maka Rasulullah menjawab, Yaitu kamu memberi makan kepada orang lain, dan kamu mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan yang tidak kamu kenal.” (HR. Bukhari: 12 dan Muslim: 39)

Dan berkata Imam Ibnu Hajar: “Jika dengan memberikan minum pada anjing bisa mendapatkan pengampunan dosa, maka memberi minum pada manusia tentu pula akan mendapatkan pahala yang lebih besar.” (Fathul Bari Syarh Shahih Bukhari 5: 42)

Justeru itu baru-baru ini, tanggal 25 Ogos 2018 sekali lagi LKKPP telah menjayakan program “Kenduri Rakyat” buat kesekian kalinya. Tahun ini, Kenduri Rakyat diraikan bersama masyarakat yang berbilang kaum dan agama di sekitar Jalan Raja Laut, Chow Kit dan juga Jalan Haji Taib. Seperti biasa Kenduri Rakyat diraikan dengan begitu meriah sekali seperti juga program-program sebelum ini.

Seawal pagi lagi, petugas-petugas LKKPP menjalankan gotong-royong untuk persediaan dan persiapan program Kenduri Rakyat di belakang Pejabat Agung PAS dengan menu istimewa pada hari tersebut ialah Sup Wak Sururi dan menu kari ayam sebagai menu tambahan.

Program yang bermula jam 12.30 tengahari itu dimulakan dengan ucapan perasmian yang disampaikan oleh Naib Presiden PAS, Dato’ Ir. Iskandar Samad. Turut serta dalam menjayakan program itu ialah Pengerusi LKK Selangor, Dr.Abdul Rani Osman, Ketua DHPP Terengganu, Dr Bala dan Pengarah Kenduri Rakyat, Cikgu Yusoop. Program tersebut diserikan lagi dengan prsembahan busking oleh Abang Man John dari Lembah Pantai.

Menurut Cikgu Yusoop, katanya salah satu faktor program Kenduri Rakyat ini dapat dilaksanakan dengan jaya dan lancarnya adalah atas sumbangan orang ramai yang dermawan. Selain daripada sumbangan kewangan dari orang ramai, pihak Amal Kembara Sdn Berhad juga telah bermurah hati mendermakan seekor lembu dan menu sup istimewa adalah masakan dari Restoran Wak Sururi, Masjid Alam Shah Kuala Lumpur. Cikgu Yusoop juga menyatakan bahawa dia amat berbesar hati dan merasa terharu serta sangat menghargai segala sumbangan dari orang ramai dan juga pihak-pihak tertentu atas sokongan yang tidak pernah jemu. Beliau juga mendoakan agar semua pihak yang terlibat atas kejayaan program ini sentiasa berada dalam limpah rahmat dan keredhaan Allah SWT.

Program Kenduri Rakyat ini bukan sahaja sekadar program kemasyarakatan semata-mata. Malah, lebih dari itu, ianya memperlihatkan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa PAS bukan hanya sebuah Parti politik tetapi juga Parti yang membawa dakwah, tarbiyah dan kebajikan.