Home Berita PAS Terengganu

Kenapa perlu tangkap Sanusi pukul 3 pagi?

220
SHARE

MARANG – Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mempersoalkan kewajaran Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ditangkap pada jam 3 pagi.

Ahmad Samsuri berkata, sedangkan Menteri Besar Kedah tersebut telah ditetapkan hadir ke Mahkamah pada jam 9 pagi.

Menurutnya, tindakan sedemikian tidak perlu dilakukan kerana beliau bukan pelarian yang mahu lari ke mana-mana.

“Kami para pimpinan tidak akan lari, jadi kenapa perlu ditahan dan dibawa pada jam 3 pagi,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu bertempat di Tapak SMIYT Marang, Kampung Tok Muchong di sini hari ini.

Mengulas mengenai sokongan rakyat terhadap Perikatan Nasional (PN) susulan isu itu, Ahmad Samsuri berkata tindakan tersebut tidak akan menjejaskan sokongan rakyat.

Apabila ditanya mengenai pelbagai halangan dan sekatan yang dikenakan terhadap PN terutama dari sudut media sosial.

Beliau menjawab itu tekanan dan aturan biasa yang dilakukan oleh mereka.

“Insya-Allah, kita masih boleh mengatasinya dan akan bangkit sepenuhnya,” ujarnya.