Apabila kecoh perihal usaha pihak penyewa di Kg Jinjang Selatan Tambahan yang ingin mengeluarkan 37 buah keluarga cina dari kediaman mereka kerana ingin menyewa kawasan itu selama 3 tahun, maka PAS di Wilayah Persekutuan menyantuni mereka untuk mengetahui keadaan sebenar mereka.
Kami bersikap berhati-hati dengan tidak sekadar mengambil maklumat di media sosial dan portal berita. Sebaliknya kami sendiri turun dan menyantuni penduduk cina di sana sepertimana yang kami lakukan di Kg Sg Baru dan Kuchai Entrepreneur Park (KEP) yang mengalami nasib yang serupa ditindas oleh kapitalis dan politikus.
Dapatan kami menemui bahawa kedudukan 37 buah keluarga di Kg Jinjang tersebut mempunyai merit dan hujah yang layak untuk diadili samada oleh rakyat, mahkamah mahupun para politikus yang mengambil kesempatan. Status tanah mereka adalah Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) yang direkodkan di dinding-dinding rumah mereka.
RTB adalah sebuah perkampungan yang diwujudkan oleh British pada era melawan ancaman komunis dahulu. Sebahagian orang cina ditempatkan di Kg Baru Cina. Manakala, sebahagian yang lain mereka berada di bawah program penempatan yang lain iaitu Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) yang dikawal oleh pasukan keselamatan bagi memastikan mereka tidak mempunyai hubungan dengan komunis.
Selepas itu, kawasan RTB berkembang fungsinya menjadi pusat ekonomi melalui penerokaan pada sudut pertanian dan ekonomi komersial. Asasnya, kewujudan mereka itu adalah hasil penempatan yang diwujudkan oleh British suatu ketika dahulu, bukannya pencerobohan atau apa jua alasan lain.
▪️Masalah yang wujud
Masalah yang timbul adalah selepas itu apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Sistem tanah yang digunakan pada waktu itu masih mengekalkan kaedah Islam yang akan kami terangkan kemudian. Namun, pada tahun 1965 iaitu 8 tahun selepas kemerdekaan dan 2 tahun selepas Malaysia terbentuk, sistem tanah telah bertukar pada tahun 1965 dengan mengambil semangat dan kaedah yang diperkenalkan oleh Torren dari Australia.
Sistem tanah yang kita gunakan sekarang adalah berdasarkan Kanun Tanah Negara 1965 (KTN 1965) yang mengambil model dari sistem Torren yang diamalkan di Australia. Menurut Prof Dr Fathi Yusof, sistem Torrens ini menjadikan PENDAFTARAN sebagai elemen penting di dalam membuktikan fakta berkaitan dengan hak dan kepentingan seseorang ke atas tanah. Fakta tersebut termasuk nama pemilik, butir-butir mengenai tanah, luas kawasannya, lokasi, pelan ukur dan had sempadan.
Maknanya, sistem bergeran ke atas pemilikan tanah yang kita gunakan pada waktu ini hanya bermula selepas Kanun Tanah Negara diimplemenkan pada tahun 1965. Kerajaan Malaysia ketika itu memperkenalkan sistem tanah yang baru kepada rakyat. Dasar bagi sistem ini adalah seluruh tanah yang wujud asasnya dimiliki oleh kerajaan negeri melainkan ada geran yang menyatakan tanah itu milik anda.
Maka, pada waktu itu rakyat pun menghantar permohonan mereka kepada kerajaan negeri supaya kerajaan mengiktiraf tanah-tanah yang mereka diami tersebut. Bagi mereka yang menghantar permohonan dan mendapatkan kelulusan, mereka pun dianugerahkan geran pemilikan terhadap tanah tersebut. Masalah yang terjadi adalah kita tidak dapat memastikan samada maklumat dan pengerahan untuk mendaftar tanah ini telah sampai kepada seluruh rakyat pada waktu itu ataupun tidak.
▪️Sistem Islam sebelum Torren
Namun, dalam kaedah Islam yang digunakan oleh Tanah Melayu sebelum itu adalah berbeza dengan sistem Torrens. Dasar bagi kaedah Islam terhadap tanah adalah bahawasanya bumi ini adalah milik Allah swt. Sesiapa yang meneroka bumi ini, maka tanah tersebut menjadi milik mereka. Kerana itu antara seruan perjuangan ulama Islam dahulu seperti Abdul Rahman Limbong adalah menentang penguasaan tanah dan pengenaan cukai kepada rakyat kerana tanah itu milik Allah swt.
Jika kalian membaca kitab Ahkam Sultaniyyah yang dikarang oleh Imam Mawardi, pada bab menghidupkan tanah yang mati (ihya al-mawat), Imam Mawardi menyatakan secara jelas kaedah menghidupkan tanah yang mati adalah mengikut tradisi tempat tersebut antaranya dengan menjadikan tanah yang diteroka itu sebagai tempat tinggal melalui pembinaan rumah di atasnya dan meletakkan atap pada binaan tersebut.
Jika seseorang ingin menghidupkan tanah yang mati dengan kaedah pertanian antaranya dengan membuat batas antara kawasan yang diteroka dan tidak diteroka, kemudian mengalirkan air ke atas tanah itu untuk menyuburkannya. Akhir sekali dengan mambajak tanah tersebut untuk menanama apa-apa pokok yang bersesuaian untuk menghidupkannya.
Inilah kaedah yang wujud sebelum KTN 1965 diimplemenkan. Kerana itu, para datuk dan nenek kita yang memiliki kerajinan mereka mempunyai aset tanah yang sangat banyak jika dibandingkan pada zaman kita hari ini. Tanah pada hari ini hanya dimiliki jika kalian mempunyai wang yang banyak untuk membelinya. Kerajinan sahaja tidak memungkinkan kalian memilik tanah seperti dahulu.
Imam Mawardi menambah lagi perbahasan tanah tersebut dengan menyatakan batas-batas terhadap tanah yang dihidupkan tersebut. Antaranya memetik pendapat Abu Yusuf bahawa batas tanah yang dihidupkan adalah sejauh suara orang yang berseru bisa didengar dari setiap sudutnya. Bukankah kaedah ini boleh menyebabkan pemilikan seseorang sejauh ratusan meter?
▪️Apa isunya di Kg Jinjang?
Merit yang dimiliki oleh penduduk Kg Jinjang adalah pada sudut syarak dan sejarah keberadaan mereka. Menurut hukum Islam, mereka jelas memiliki hak ke atas tanah yang mereka diami sekarang. Keberadaan mereka di situ mencapai syarat-syarat yang dibawa oleh hukum syariat.
Adapun menurut sejarah, mereka telah berada di situ sebelum kemerdekaan dicapai dan sebelum KTN 1965 diwujudkan lagi. Namun, mereka tidak memiliki geran mungkin kerana kesilapan yang dibuat oleh generasi awal yang duduk di sana. Sepatutnya dengan menilai hujah-hujah ini, pihak berkuasa memberikan budi bicara dengan pemberian geran kepada mereka sebagai penduduk asal di situ. Mereka tidak menceroboh tanah kerajaan kerana mereka berada di situ sebelum kerajaan wujud lagi.
Apatah lagi mereka dipaksa keluar dengan ketiadaan tempat tinggal, tiada jaminan pulang semula ke kediaman mereka dan tidak diberi sebarang wang bantuan untuk dipindahkan.
Seruan PAS berdasarkan perlembagaan PAS adalah ALLAHUAKBAR. Maka, kami mengangkat aspek syariat ini dan sepatutnya undang-undang yang ada diselarikan dengan syariat Islam.
Jika perkara sama berlaku kepada orang melayu di sebuah tanah yang didiami oleh mereka sebelum kemerdekaan lagi, adakah kita berhasrat menghalau mereka juga? Jika kita berhasrat mempertahankan mereka, adakah kita bersikap memilih untuk melaksanakan keadilan dengan menafikan hak orang cina juga?
Ternyata, Islam yang kami anuti mengajar kami keadilan ditegakkan tanpa menilai agama, bangsa dan warna kulit.
ABDUL RAZAK BIN RAMLI
KETUA PENERANGAN DPPWP.