Home Berita PAS Pahang

Kenapa ada double standard dadah, judi dan arak?

147
SHARE

TEMERLOH, 16 Sept – “Judi, arak dan dadah adalah sama kerana berbahaya dan memudaratkan masyarakat.

“Tetapi kenapa ada double standard bila kita nak tutup premis  arak dan judi ada yang marah?,” kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Dato’ Andansura Rabu.

“Dadah berbahayalah, dadah najislah macam-macam kita kata, tapi arak dan judi, kita tak buat macam tu, kita biarkan, kita beri lesen, sedangkan kedua-duanya memudaratkan institusi kekeluargaan dan masyarakat, sama juga.

“Jadi ini yang kita kena perbetulkan, Islam ada penyelesaiannya, apa saja yang memudaratkan mesti kita halang, mesti kita sekat, kuasa ada kena guna,” tambahnya.

Beliau berkata demikian semasa podcast PAS Teraju Pahang sempena Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-70 di Kompleks Al-Makmur Kerdau semalam.

Apabila ditanya mengenai premis judi di kasino Genting Highlands, beliau menjelaskan ianya perlu dirujuk kepada perundangan sejauh mana bidang kuasa negeri boleh menutup atau menarik balik lesen dan sebagainya.

“Kita akan mengikut langkah SG4, mengharamkan lesen judi bila kita memerintah Pahang nanti, tetapi ianya mesti dibuat mengikut lunas undang-undang kuasa negeri yang ada, ia tak boleh kita nak buat terus, hari ini menang esok hapus judi, tidak, kita tak buat mcm tu,” jelas beliau yang juga sebagai Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah.

Sementara itu Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang Dato’ Ustaz Rosli Abdul Jabar dalam sidang media tersebut berkata, perjudian adalah satu perkara yang menimbulkan ketagihan.

Malahan kata ADN Tanjung Lumpur,  ia akan memberi kesan yang buruk selepas itu sehingga ke peringkat berlakunya kes jual isteri, jual anak, melacurkan isteri dan sebagainya, kerana mereka terikat dengan hutang yang banyak.