Home Berita PAS Terengganu

Kenaikan tarif elektrik tambah derita rakyat

47
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kenaikan tarif elektrik yang mahu dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan dibimbangi bakal menambah derita rakyat yang sudah tertekan dengan pelbagai kenaikan kos sara hidup.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberikan penjelasan lanjut berikutan kenyataannya berkaitan isu kenaikan tarif elektrik.

Katanya, sekiranya kenaikan tarif sebanyak 14 peratus berkuatkuasa pada tahun 2025, ia boleh menggugat usaha kerajaan untuk menstabilkan kos sara hidup rakyat.

“Sekalipun data ekonomi dan mata wang Malaysia setakat ini didakwa menunjukkan semakin naik dan sebagainya, tetapi ia tidak ‘merakyat’.

“Ia tidak sampai kepada rakyat dalam bentuk harga barang yang lebih murah di mana harga barang tetap naik juga”, ujar beliau.

Tambah beliau lagi, kenaikan tarif elektrik tentu akan memberi impak secara langsung kepada isi rumah dan perniagaan.

Akan tetapi, jelasnya kenyataan terkini daripada Perdana Menteri mengatakan bahawa kenaikan tarif elektrik tidak akan membebankan rakyat sangat luar biasa,

“Isu kenaikan tarif elektrik sudah lama dibincang semasa kita di dalam Perikatan Nasional (kerajaan), tetapi kita mengambil kira keadaan rakyat dan mengambil Keputusan untuk menangguhkan kenaikan tersebut.

“Tetapi apabila Anwar menyebut kenaikan tarif elektrik tidak membebankan rakyat saya rasa kenyataan itu terlalu mudah.

“Seolah-olah tidak mengambil kira terhadap kesusahan rakyat yang ada sekarang,” jelasnya.

Oleh itu tegas beliau, kerajaan perlu memastikan kenaikan tarif ini jika tetap mahu dilaksanakan, ia mestilah berjalan secara berperingkat dan diimbangi dengan sokongan yang sesuai kepada golongan yang memerlukan, seperti melalui subsidi atau bantuan lain.