Home Berita PAS Terengganu

Kenaikan Tarif 25% Amerika Syarikat Bukti Kegagalan PMX

8
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kenaikan tarif 25% oleh Amerika Ayarikat (AS) bukti kegagalan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) dan lawatan kerja ke AS yang kononnya membuahkan pelaburan tetapi gagal mencegah tindakan merugikan rakyat Malaysia sendiri.

Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat (DHPP), N. Balasubramaniam berkata, rakyat melahirkan rasa dukacita dan menyifatkan ia adalah satu kegagalan diplomatik dan ekonomi kerajaan pimpinan PMX, khususnya dalam konteks hubungan perdagangan strategik antara kedua-dua negara.

“Sebagai sebuah negara yang bergantung kepada eksport, Malaysia sepatutnya berperanan lebih aktif dalam diplomasi perdagangan terutamanya dalam menjelaskan pendirian,

“membina saluran rundingan dan mengelakkan tindakan balas keras daripada kuasa besar seperti Amerika Syarikat.

“Tindakan balas ini membayangkan kegagalan PMX dan pasukan Kerajaan Madani dalam menangani ketegangan perdagangan lebih awal, sama ada berkaitan dengan isu dasar perindustrian atau geopolitik.” Tegas beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Bala, ia juga menggambarkan kegagalan dalam membina persefahaman bersama melalui diplomasi ekonomi atau dialog dua hala yang berkesan.

“Apa yang dikesali adalah sikap PMX kerap menyatakan Malaysia sedang “mendepani pelaburan besar dan disambut baik di pentas dunia.

“Namun, hakikat bahawa AS masih mengenakan tarif berat mencerminkan bahawa hubungan perdagangan Malaysia-AS berada dalam keadaan rapuh malah mungkin tidak dihormati sebagai rakan strategik yang benar-benar setara.” tambah beliau.

Oleh itu, kata beliau, secara tidak langsung, ini menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat Malaysia adakah PMX lebih cenderung kepada retorik dan persepsi sedangkan rundingan substantif dengan kuasa besar ekonomi gagal mencapai hasil.

“DHPP Pusat melihat bahawa tindakan AS ini menunjukkan bahawa Malaysia gagal memposisikan dirinya secara berkesan dalam percaturan global,

“sekali gus rakyat terpaksa menanggung akibatnya sehingga menimbulkan persoalan besar terhadap keberkesanan kepimpinan PMX dalam menjaga kepentingan negara di pentas antarabangsa.” jelasnya.

Justeru kata Bala, walaupun hubungan perdagangan antara negara tidak bergantung sepenuhnya kepada seorang individu, sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

“PMX memikul tanggungjawab besar dalam memastikan kestabilan perdagangan antarabangsa dan perlindungan kepentingan nasional.

“Maka, dalam konteks ini, kenaikan tarif oleh AS boleh dianggap sebagai salah satu kegagalan utama dalam pendekatan diplomasi ekonomi kerajaan Madani.” ujar beliau lagi