Home Berita PAS Terengganu

Kenaikan harga barang, salah siapa?

237
SHARE

KUALA TERENGGANU, 8 Jun – Isu kenaikan harga barang tidak pernah lekang daripada meniti di bibir rakyat-rakyat Malaysia dan di laman-laman media sosial, apatah lagi masyarakat kini dihimpit dengan pelbagai masalah.

Perihal ini semakin berterusan dan siapa yang patut bertanggungjawab atas senario ini? Siapakah yang patut dipersalahkan dan mengambil tanggungjawab atas kesengsaraan rakyat menanggung bebanan kos sara hidup yang semakin hari semakin meningkat?

Adakah pihak kerajaan telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menangani isu ini?  Adakah peniaga-peniaga mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan ketika Malaysia mengalami krisis sebegini?

Tinjauan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di sekitar beberapa lokasi tumpuan penduduk mendapati masih ada peniaga berupaya menjual barangan jualan dengan harga yang sama  meskipun hanya untung sedikit.

Di Pasar Payang misalnya masih ada peniaga menjual barangan jualan dengan harga terkawal  kerana bagi mereka keuntungan sedikit itu lebih baik daripada kehilangan pelanggan setia.

Ibrahim Jusoh, 70, seorang peniaga kuih muih berkata isu peniaga menaikkan harga barangan sesuka hati bukanlah perkara baru, sebaliknya telah berlarutan sejak sekian lama.

“Saya masih jual kuih macam biasa dengan harga yang sama sejak dulu lagi sebab kadang-kadang harga jualan ni bergantung kepada peniaga itu sendiri.Kadang-kadang harga naik tak jejas pun tapi harga jualan tu naik sekali ganda.

“Sebenarnya boleh lagi jual murah…bukan tak boleh untung pun, masih lagi dapat tapi tak banyak berbanding jika jual mahal pelanggan takkan beli dah lepas tu,” katanya yang berniaga hampir 53 tahun.

Katanya lagi, peniaga-peniaga yang mengamalkan sikap jujur tidak akan kehilang¬an pelanggan mereka dengan mudah malah bilangan pelanggan akan bertambah dari semasa ke semasa.

Bagi peniaga batik dan songket, Nadia Hafizah Awang Yong, 34, kenaikan kos pembuatan batik sebanyak 80 peratus menyebabkan dia terpaksa menjual batik dengan harga yang lebih tinggi.

“Kos bahan mentah yang sentiasa meningkat selain permintaan terhadap kain batik itu yang sering turun naik pasti memberi tekanan kepada kami golongan peniaga yang terpaksa mengeluarkan modal yang tinggi namun untung sedikit.

“Jualan agak perlahan dan menurun jika dibandingkan sebelum ini walaupun masih ada pelanggan setia yang mencari batik,” katanya yang mengharap kerajaan mampu mengawal harga bahan mentah supaya harga batik terkawal.