Home Berita PAS Perlis

Kemusnahan Lombok Peringatan Daripada Allah

1026
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

KANGAR : Bencana yang berlaku di Lombok dan Palu baru-baru ini merupakan peringatan daripada Allah kepada manusia, khususnya umat Islam.

Demikian dijelaskan oleh Pengarah PAS Relief YB Muhammad Sanusi Md. Nor ketika menyampaikan ceramah isu semasa Misi Kemanusiaan Di Lombok di Ma’had Tahfiz Al Quran Al Imam An Nawawi (MATIN), Kangar, malam tadi.

Menceritakan pengalaman beliau sepanjang berada di sana menyertai misi kemanusiaan pada bulan September yang lalu, beliau berkata bencana gempa dan tsunami yang berlaku amatlah dahsyat manakala kemusnahan yang berlaku sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.

Apa yang berlaku ujarnya bertepatan dengan apa yang telah dijelaskan oleh Allah S.W.T. dalam Al-Quran.

“Benarnya amaran Allah, benarnya firman Allah dalam Al-Quran berkaitan kejadian-kejadian (bencana-bencana) yang telah disebutkan (dalam Al-Quran), telah berlaku di depan mata.”

“Apa yang diceritakan dalam Quran, ada dah la ni di depan mata, bukan lagi tanda-tanda, memang jadi sebijik macam tu,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau turut menceritakan pengalamannya merasai sendiri kejadian gempa bumi ketika berada di sana.

“Saya pi minggu kedua, ingatkan habis dah, (rupanya) dalam saya dok (tinggal) tiga hari saya kena lima kali kejadian gempa.

“Di satu tempat yang saya pergi, berlaku gegaran 4 skala richter, sampai terbit asap daripada gunung-ganang dan banjaran.”

“Lombok ni tuan-tuan, Allah uji kali pertama pada 5 ogos, gempa berlaku di lombok timur berkekuatan 6.5 skala richter, ranap semua yang ada di sana, seminggu kemudian, 7 skala richter , runtuh 100 peratus kediaman di Lombok Utara.

Amaran Dari Allah

Mengulas lanjut, beliau mendedahkan Lombok sebelum berlakunya bencana, merupakan pusat hiburan terbesar di Sulawesi manakala budaya khurafat pula menjadi amalan dalam kalangan masyarakatnya.

Ujarnya, kejadian gempa bumi dan tsunami yang berlaku adalah peringatan daripada Allah S.W.T. ke atas kepulauan berkenaan akibat daripada maksiat yang berleluasa sedangkan majoriti penduduknya merupakan penganut agama Islam.

Justeru, beliau memberi ingatan kepada umat Islam khususnya di Malaysia, agar menghindarkan diri daripada perkara-perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah S.W.T di samping memilih pemerintah yang benar-benar komited memerintah negara dengan Islam.

“Nak larang orang buat jahat ni kena ada kuasa, kuasa itu ada pada kerajaan.

“Jadi nak pilih kerajaan, kena pastikan kerajaan yang mencegah kemungkaran.

“Tuan-tuan jangan lantik orang yang bersekongkol dengan maksiat jadi kerajaan, semua ni bakal mendatangkan bala kepada kita,” jelasnya.