Home Berita PAS Selangor

Kemuliaan dan Keagungan Nifsu Syaaban

1194
SHARE

Bismillahirrahmannirrahim,

Ada beberapa bulan di dalam Islam yang di dalamnya terdapat keberkahan dan kemuliaan. Salah satunya adalah Bulan Syaaban. Syaaban juga bermaksud ‘cabangan-cabangan kebaikan’ dan di dalamnya terdapat satu malam istimewa iaitu ‘Malam Nisfu Syaaban’ yang menjadi ikhtilaf ataupun perbezaan pendapat di kalangan ulama terdahulu sehinggalah ke hari ini berkenaan sekiranya jika kita menghidupkan malam istimewa tersebut dengan beribadah maka Allah SWT pasti akan mengampuni dosa-dosa kita kecuali dosa syirik dan membunuh. Sabda Rasulullah SAW sepertimana yang diriwayatkan Muaz Bin Jabal yang bermaksud :

“Allah mendatangi seluruh makhluk-Nya pada malam Nisfu Syaaban. Dan Dia akan mengampuni seluruh makhluk kecuali orang musyrik dan orang yang bermusuhan”
(HR. At-Thabrani, Ibnu Hibban dan Al-Baihaqi)

Selain itu, antara pengiktibaran yang perlu dicontohi di bulan Syaaban ini adalah amalan dan ibadah Rasulullah SAW iaitu berpuasa sunat Bulan Syaaban. Dari Usamah bin Zaid, beliau berkata, “Katakanlah wahai Rasulullah, aku tidak pernah melihatmu berpuasa selama sebulan dari bulan-bulannya selain di bulan Syaaban”.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Bulan Sya’ban adalah bulan di mana manusia mulai lalai iaitu di antara bulan Rajab dan Ramadhan. Bulan tersebut adalah bulan dinaikkannya berbagai amalan kepada Allah, Rabb semesta alam. Oleh karena itu, aku amatlah suka untuk berpuasa ketika amalanku dinaikkan.” (HR. An Nasa’i. Syaikh Al Albani mengatakan bahwa hadits ini hasan).

‘Aisyah radhiyallahu ‘anha juga mengatakan,

“Nabi SAW tidak biasa berpuasa pada satu bulan yang lebih banyak dari bulan Syaaban. Nabi SAW biasa berpuasa pada bulan Syaaban seluruhnya.”
(HR. Bukhari)

An Nawawi rahimahullah pula menuturkan bahawa para ulama mengatakan : “Nabi SAW tidak menyempurnakan berpuasa sebulan penuh selain di bulan Ramadhan agar tidak disangka puasa selain Ramadhan adalah wajib.”
(Syarh Muslim)

Di antara rahsia kenapa Nabi SAW banyak berpuasa di bulan Syaaban adalah karena puasa Syaaban adalah ibarat ibadah rawatib (ibadah sunnah yang mengiringi ibadah wajib). Sebagaimana solat rawatib adalah solat yang memiliki keutamaan kerana ianya mengiringi solat wajib, sebelum atau sesudahnya, demikianlah puasa Syaaban. Kerana puasa di bulan Syaaban sangat hampir dengan puasa Ramadhan, maka puasa tersebut memiliki keutamaan. Puasa di bulan Syaaban juga adalah sebagai latihan atau pemanasan sebelum memasuki bulan Ramadhan. Jika seseorang sudah terbiasa berpuasa sebelum puasa Ramadhan, tentu dia akan lebih kuat dan lebih bersemangat untuk melakukan puasa wajib di bulan Ramadhan.

Oleh itu, saya mengharapkan semoga kita tidak terlalai untuk merebut kesempatan kemuliaan yang ada di Bulan Syaaban ini bagi mempertingkatkan amalan puasa sunat kita selain ibadah-ibadah lain dengan memperbanyakkan istighfar memohon keampunan Allah SWT terhadap dosa-dosa kita yang telah lalu, memperbanyakkan bacaan Kalimah Tauhid serta Selawat ke atas Baginda Rasulullah SAW, Membaca Al Quran serta menghidupkan (qiam) Malam Nisfu Syaaban kerana rahmat Allah SWT tersebar luas pada malam tersebut kepada orang-orang yang beribadah, bermunajat dan bertafakur kepada Allah Rabbul Jalil.
Sabda Rasulullah SAW bahawa Allah SWT telah berfirman di dalam sebuah Hadis Qudsi yang bermaksud :

“Dan senantiasa hamba-Ku mendekatkan diri kepadaKu dengan amalan-amalan sunnah sehingga Aku mencintainya. Jika Aku telah mencintainya, maka Aku akan memberi petunjuk pada pendengaran yang ia gunakan untuk mendengar, memberi petunjuk pada penglihatannya yang ia gunakan untuk melihat, memberi petunjuk pada tangannya yang ia gunakan untuk memegang, memberi petunjuk pada kakinya yang ia gunakan untuk berjalan. Jika ia memohon sesuatu kepada-Ku, pasti Aku mengabulkannya dan jika ia memohon perlindungan, pasti Aku akan melindunginya.” (HR. Bukhari no. 2506).

Y.B. DATO’ DR. AHMAD YUNUS BIN HAIRI
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (EXCO)
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan,
Pembangunan Desa Dan Kampung Tradisi

14 Syaaban 1438H bersamaan 11 Mei 2017M

{jathumbnail off}