Home Berita PAS Terengganu

Kempen solat ‘Gegarkan’ pasar raya terkemuka

96
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kempen Bulan Penghayatan Ibadah Solat (BPIS) digerakkan kerajaan Terengganu termasuk di pasar raya terkemuka di sini mendapat sambutan menggalakan daripada orang ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata inisiatif yang dilakukan pihaknya itu adalah untuk memastikan rakyat di negeri ini tidak leka untuk mendirikan ibadat berkenaan yang menjadi tunjang penting dalam kehidupan umat Islam.

“Malam ini kita telah turun ke lapangan mengadakan ‘street dakwah’ bagi mendekati seramai mungkin pengunjung untuk disebarkan risalah agar mereka mengetahui tentang program BPIS yang secara ringkasnya disebut ‘Jom Solat Berjemaah’.

 

“Saya mewakili pihak kerajaan berharap dengan inisiatif serta pendekatan yang diambil akan mampu mendidik masyarakat untuk sentiasa menghidupkan ibadat ini dengan sembahyang pada awal waktu dengan sentiasa menjaganya serta berusaha untuk memastikan ia dilakukan dengan sempurna dan mengerjakannya secara berjemaah,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, selepas menghadiri Kempen BPIS, di Pasar Raya Kuala Terengganu City Centre (KTCC), Sabasun Hyperruncit Sdn Bhd, Giat Hypermarket Kuala Terengganu, dan Mydin Mall Kuala Terengganu di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Kamaruzaman Abdullah dan Pengarah Akademi Didik Ulama dan Amilin Terengganu (DUAT), Ramlan Mahmood.

Mengulas lanjut, Mohd Nor merakamkan setinggi penghargaan kepada pihak pusat beli belah kerana telah membantu pihak kerajaan bagi memperhebatkan semarak dakwah bagi tahun ini.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang terlibat dalam melaksanakan program ini kerana telah memberikan kerjasama sepenuhnya bagi menunaikan hasrat kerajaan ingin memastikan rakyat negeri ini hidup maju, berkat dan sejahtera berpandukan ajarana Islam kerana itu kerja dakwah ini menjadi keutamaan kepada pihak kerajaan,”ujarnya.