Home Berita PAS Terengganu

Kempen selarikan Kerajaan Negeri & Persekutuan : PH-BN londeh niat jahat sendiri

3
SHARE

UMNO-PH dalam kempennya berhujah bahawa pentingnya memilih Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan yang mempunyai aspirasi politik yang sama kononnya barulah peruntukan dan pembangunan akan sampai ke Terengganu.

Hujah ini sebenarnya amat lemah. *Pertama*, ini kerana Terengganu adalah salah sebuah negeri yang membentuk Persekutuan dan hubungan ini dijamin oleh asas perlembagaan yang kukuh.

Pemberian Persekutuan kepada negeri juga sudah pun termaktub dalam Perlembangaan Persekutuan ini. Secara umumnya Terengganu menerima 10 jenis pemberian daripada Persekutuan yang kesemuanya berjumlah sekitar RM400 juta setahun.

Pemberian ini termasuklah Pemberian Penyelenggaraan Jalan Negeri; Pemberian Di Bawah Senarai Bersama; Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup; Geran Tahunan Kepada Pihak Berkuasa Tempatan (GTBKK); dan Pemberian Mengikut Bilangan Penduduk.

*Kedua*, secara demokrasinya pula, tidak disyaratkan sedemikian (kerajaan sama parti di peringkat negeri dan Persekutuan), bahkan dalam sesebuah kerajaan pun boleh terdiri daripada parti-parti yang bervariasi ideologi sementelah lagi kerajaan yang dibentuk di peringkat yang berbeza.

Meletakkan syarat peruntukan akan disalurkan jika Kerajaan Negeri dan Persekutuan daripada parti yang sama merupakan suatu pencabulan demokrasi dan penafian hak yang nyata.

*Ketiga*, sejarah juga menunjukkan bahawa sejak sekian lama Terengganu diperintah oleh BN di peringkat negeri dan Persekutuan sebelum ini, Terengganu masih terkebelakang pada aspek sosioekonomi dan pembangunan berbanding negeri-negeri lain.

Hakikat ini bukan sahaja menunjukkan bahawa tidak menjadi syarat kerajaan sama parti di peringkat negeri dan Persekutuan untuk Terengganu menjadi maju atau mundur, bahkan juga mengesahkan bahawa sekiranya berterusan membiarkan UMNO/BN menguasai kedua-dua kerajaan, Terengganu ada terus kekal terkebelakang.

*Keempat*, harus diketahui juga bahawa sejak 2018 sehingga 2022, Kerajaan Negeri menerima Dana Khas / Pemberian Khas daripada Persekutuan berjumlah lebih RM6.3 bilion atau secara purata RM1.2 bilion setahun.

Pemberian yang sudah menjadi amalan sejak lebih 20 tahun ini sepatutnya diteruskan dan ditambah baik. Tetapi PMX menerusi Ucapan Belanjawan 2023 dan sikapnya sehingga kini secara terang-terangan cuba untuk mengelak daripada Kerajaan Negeri menerima sepenuhnya dana ini.

Hasil daripada petroleum ini yang sepatutnya digazetkan sebagai royalti juga bertukar status kepada “Wang Ehsan” sahaja adalah akibat tindakan UMNO Terengganu sendiri sehingga menyebabkan hasil untuk Terengganu ini tidak lagi diikat dengan aspek perundangan yang lebih kukuh.

Sekali lagi, seruan supaya pengundi memilih parti yang sama membentuk Kerajaan Persekutuan yang digerakkan oleh UMNO/PH ini hanya melondehkan lagi niat jahat sendiri untuk tidak menjunjung prinsip federalism dan berlaku adil kepada semua.

Namun, idea “kerajaan sama parti di peringkat negeri dan Persekutuan” tetap amat menarik untuk direalisasikan. Cumanya, melalui pendekatan yang berbeza. Berbanding kita samakan kerajaan negeri yang bakal dibentuk dengan Kerajaan Persekutuan sedia ada, lebih baik kita selarikan Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri yang dibentuk pasca pilihan raya di enam buah negeri.

Jadikan pilihan raya di enam buah negeri ini sebagai referendum menolak BN-PH supaya mencetuskan berlakunya perubahan kepimpinan di peringkat Persekutuan. Insya-Allah.

*Gelombang Ahli UMNO Sokong PAS Bakal Gugat Kerajaan Persekutuan*

Perubahan Kerajaan Persekutuan yang disebutkan bukanlah khayalan ataupun mimpi di siang hari, Perlembagaan Persekutuan membolehkan ia berlaku mengikut aturan yang ditetapkan.

Apatah lagi jika perubahan itu diinginkan oleh majoriti rakyat dan petanda itu semakin memuncak dari hari ke hari. Sebagai bukti, dalam waktu kempen ini gelombang perubahan itu mula menular dari satu tempat ke tempat yang lain, ramai akar umbi UMNO menzahirkan sokongan kepada PAS/PN.

Contohnya di DUN Tepoh, orang kuat UMNO di beberapa cawangan seramai hampir 100 orang telah mengisytiharkan keluar UMNO dan memberikan sokongan kepada PAS.

Begitu juga di kebanyakan DUN lain dan gelombang penolakan terhadap BN-PH ini tidak terhenti di situ, ramai lagi dijangka akan keluar daripada UMNO sama ada secara zahir di pentas ceramah ataupun sebaliknya.

Keluarnya mereka daripada UMNO adalah kerana merasakan dikhianati oleh pemimpin atasan sendiri dan kerana tidak rela bersekongkol dengan PH terutamanya DAP.

Kita juga mendapat banyak maklum balas daripada ahli UMNO yang masih kekal dalam UMNO, mereka juga memilih untuk memberikan undi kepada PAS dalam pilihan raya ini supaya menjadi isyarat dan teguran kepada kepimpinan UMNO untuk kembali kepada perjuangan asal UMNO.

PAS Terengganu sangat mengalu-alukan kehadiran dan sokongan mereka dan semoga ia mampu menguatkan PAS/PN bagi membina negeri yang sejahtera.

*Kehadiran Pemimpin Nasional ke Terengganu*

Bagi menghangatkan lagi kempen PAS/PN di Terengganu, pihak kami telah mengaturkan beberapa program yang melibatkan tokoh nasional dan negarawan, antaranya :

1. Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir pada 7 Ogos 2023 di Seberang Takir (Petang) dan Kijal (Malam).

2. Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang juga akan berkempen di Terengganu pada 8 Ogos 2023 di Langkap, 9 Ogos 2023 di Bukit Besi dan 10 Ogos 2023 di Ajil.

3. Tun Dr Mahathir Mohammad juga akan hadir ke Terengganu pada 9 Ogos 2023 di Kijal.

Dijemput kepada semua rakyat Terengganu untuk bersama-sama hadir dan memeriahkan lagi program yang telah disusun ini.

*Seruan Perantau*

Pada kesempatan ini juga, saya ingin mengajak semua anak-anak Terengganu di perantauan untuk pulang beramai-ramai pada hujung minggu ini bagi memastikan kemenangan berpihak kepada PAS/PN di Terengganu.

Susun dan rancang perjalanan dengan lebih awal, berhati-hati ketika memandu, semoga nanti selamat sampai dan pulang.

Sekian. Terima kasih.

YB DATO’ DR. HJ. ALIAS BIN RAZAK
Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Terengganu
Ahli Parlimen Kuala Nerus_

Tarikh : 7 Ogos 2023 / 20 Muharam 1445H