Home Berita PAS Terengganu

Kempen kesedaran isu pembuangan sisa makanan perlu diperhebatkan

229
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan perlu melaksanakan langkah-langkah yang lebih efektif dan holistik untuk jangka pendek dan panjang dalam menangani isu pembuangan sisa makanan yang begitu kritikal berlaku di Malaysia.

Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid berkata, usaha tersebut bagi memberi kesedaran kepada masyarakat untuk menghargai makanan dan tidak sewenangnya melakukan pembaziran terutama ketika di bulan puasa.

Menurutnya, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) meramalkan peratusan sisa makanan di tapak pelupusan akan meningkat 40 peratus terutama di bazar Ramadan ekoran pembukaan bazar di seluruh negara pada tahun ini.

” Perkara ini dilihat sangat mendukacitakan apabila sebanyak 17 juta kilogram sisa makanan daripada 38 juta kilogram sisa pepejal yang dibuang setiap hari iaitu bersamaan dengan tujuh buah kolam renang Sukan Olimpik,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Che Alias berkata, beliau  berharap kerajaan akan lebih banyak mengadakan pendekatan secara proaktif bagi memastikan isu pembuangan sisa makanan yang kritikal dapat diselesaikan sekaligus mendidik masyarakat untuk lebih menghargai makanan.

Tambahnya, pereputan sisa makanan menyebabkan penghasilan ‘Greenhouse Gas’ (GHG) dan secara tidak langsung menjadi faktor pemanasan global berlaku.

“Tapak pelupusan sisa juga antara punca utama penghasilan gas metana yang merupakan antara gas perosak lapisan ozon utama berbanding gas karbon dioksida.

“Oleh itu, kerajaan perlu menyemak semula dari segi dasar, polisi dan pelan pembangunan serta pengurusan sisa makanan agar relevan dengan isu-isu yang berlaku pada hari ini dan mendapat jalan penyelesaian yang lebih inklusif,” katanya.

Beliau turut menyarankan penyelidikan dan inovasi dengan kerjasama pihak berkaitan untuk mengolah sisa makanan terbuang menjadi baja organik untuk pertanian perlu diperkasakan lagi.