Home Minda Presiden

KEMENANGAN AWAL KEPADA HAMAS

5
SHARE

Minda Presiden PAS
[Bil: 72 / 2025]
KEMENANGAN AWAL KEPADA HAMAS


Pimpinan tertinggi Harakah al-Muqawamah al-Islamiyyah (Hamas) dalam warkahnya kepada Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyatakan penghargaan kepada rakyat Malaysia pada semua lapisan yang bersimpati kepada rakyat Palestin. Begitu juga simpati kepada semua kumpulan Palestin yang berjihad, dipimpin oleh Hamas bagi menghadapi keganasan rejim Zionis dan negara bersekutunya terhadap rakyat Palestin, khususnya wilayah Gaza yang kecil yang dibelasah dengan serangan paling ganas dan melampau.

Hamas juga meminta maaf kerana tidak dapat menghantar wakil ke Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali Ke-71 yang lalu disebabkan faktor keselamatan, selepas para perunding mereka diserang oleh Israel secara tidak bermoral di Qatar pada 9 September 2025 sehingga dikutuk oleh majoriti masyarakat antarabangsa.

PAS turut diminta bersama bertanggungjawab bagi menyertai pandangan dan langkah yang perlu diambil, dalam menghadapi perkembangan mutakhir yang sangat mencabar gerakan Islam di seluruh dunia yang bersaudara laksana anggota pada satu jasad.

Mengikut bacaan politik dan ketenteraan, kesediaan rejim Zionis menerima pelan damai Presiden Donald Trump menunjukkan tanda awal mereka menyerah kalah dan kemenangan awal kepada Hamas, kerana kegagalan rejim Zionis dalam operasi ketenteraan menawan Gaza sehingga mencecah dua tahun, tetapi masih tidak berjaya mengeluarkan Hamas dan menghapuskannya.

“Hamas mesti dihapuskan.” Inilah kenyataan awal Israel yang diisytiharkan kepada dunia, namun masih angkuh mencabar Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sehingga boleh melakukan jenayah perang dan apa-apa sahaja.

Mereka juga masih berbangga dengan slogan bahawa tentera Israel mustahil dikalahkan serta boleh melakukan apa-apa sahaja tanpa undang-undang dan perikemanusiaan, kerana senjata Blok Barat yang bertali arus dan kuasa veto yang melindungi Israel yang digunakan secara zalim.

Bagi menyelamatkan tentera mereka daripada keadaan terbelenggu oleh serangan balas kumpulan mujahidin Palestin yang dipimpin oleh Hamas, Israel terpaksa menggunakan ‘abang besar’ Amerika Syarikat bagi memujuk Hamas melalui negara Arab dan Islam yang dijadikan perunding, menunjukkan keadaan tentera Zionis yang sudah lemah. Kalau masih kuat, nescaya serangan diteruskan lagi tanpa gencatan senjata sehingga mencapai matlamat yang diisytiharkan.

Kegagalan itu menyebabkan berlaku krisis politik dan ekonomi hingga ketenteraan dalam Israel, sehingga ada desakan agar membatalkan operasi ketenteraan yang gagal dan lebih penting membebaskan tentera Israel yang ditawan Hamas, disertakan desakan demonstrasi daripada keluarga tawanan dan kalangan yang bersimpati dengan keluarga tawanan yang terkulai semangatnya.

Ada yang melarikan diri daripada kerahan tentera tambahan yang diwajibkan, bahkan ada yang mencederakan diri. Ada yang bergerak menumbangkan kerajaan campuran demi mendesak Benjamin Netanyahu meletakkan jawatan Perdana Menteri. Hanya kalangan pelampau yang masih berjuang bagi menegakkan dongeng negara agung Israel bersama pemimpinnya, al-Masih yang dinanti-nanti kemunculannya.

Langkah Hamas menerima pelan damai Trump adalah dengan kebijaksanaan pindaan serta menolak syarat-syaratnya yang membodohkan supaya Hamas meletakkan senjata, dipaksa menyerah kalah, dan tidak diizinkan berada dalam pentadbiran sementara Gaza. Akhirnya, Trump dan Israel membuat kenyataan menerima penyertaan Hamas dalam rundingan berikutnya.

Langkah Hamas menyambar umpan yang dicampak oleh Trump tanpa menelan mata pancingnya adalah hikmah (kebijaksanaan) politik yang tinggi, mengambil aspek positif yang tersirat dan menolak aspek negatif yang tersurat.

Hamas memperkenalkan kepada mata dunia konsep Islam yang mendahulukan perdamaian dalam hubungan antarabangsa dan antara agama dalam masyarakat majmuk yang adil dan berperikemanusiaan, walaupun terhadap musuh yang sedang menceroboh dan melampau keganasan mereka, berpandukan petunjuk Allah SWT daripada al-Quran dan hikmah (kebijaksanaan) Rasulullah SAW yang menjadi teladan.

Firman Allah SWT:

۞وَإِن جَنَحُواْ لِلسَّلۡمِ فَٱجۡنَحۡ لَهَا وَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ ٦١ وَإِن يُرِيدُوٓاْ أَن يَخۡدَعُوكَ فَإِنَّ حَسۡبَكَ ٱللَّهُۚ هُوَ ٱلَّذِيٓ أَيَّدَكَ بِنَصۡرِهِۦ وَبِٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٦٢ وَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡۚ لَوۡ أَنفَقۡتَ مَا فِي ٱلۡأَرۡضِ جَمِيعٗا مَّآ أَلَّفۡتَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ أَلَّفَ بَيۡنَهُمۡۚ إِنَّهُۥ عَزِيزٌ حَكِيمٞ ٦٣

“Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya, Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (61) Dan jika mereka bermaksud menipumu, maka sesungguhnya, cukuplah Allah (menjadi Pelindungmu). Dialah yang memperkuatmu dengan pertolongan-Nya dan dengan para Mukmin. (62) Dan yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya, Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana. (63)” [Surah al-Anfal: 61–63]

Langkah Rasulullah SAW dalam Perjanjian Damai Hudaibiyyah yang terkenal dalam sejarah diambil teladan. Ketika itu, umat Islam dihalang daripada memasuki Makkah bagi mengerjakan umrah. Tiba-tiba, ‘Uthman bin ‘Affan RA yang diutus untuk berunding ditahan dan tersebar berita ‘Uthman dibunuh. Rasulullah SAW lalu membuat keputusan untuk menyerang Makkah kerana membela utusannya yang ditahan atau dibunuh, tindakan yang salah mengikut adat masyarakat pada zaman purba, malah diterima oleh Islam dan menjadi undang-undang antarabangsa pada hari ini.

Keadaan tersebut menyebabkan para pemimpin bukan Islam yang memerintah Makkah merasa bersalah, lalu mereka mengutus rombongan perunding untuk berdamai. Maka, Rasulullah SAW menerima petunjuk Allah supaya berunding menerima perdamaian.
Walaupun syarat-syarat yang ditetapkan oleh musuh adalah tidak adil dan tidak berpihak kepada Islam, Rasulullah SAW melihat banyak perkara positif yang tersirat dengan ketajaman hikmah kerasulannya, sedangkan sebahagian besar sahabat berat menerimanya kerana melihat yang tersurat sahaja. Namun begitu, Allah menjinakkan hati mereka untuk menjadi patuh kepada arahan Rasulullah SAW supaya menangguhkan ibadat umrah ke tahun berikutnya.

Antara perkara positif yang tersirat ialah pengiktirafan kepada entiti kewujudan negara Islam Madinah yang sebelumnya tidak diiktiraf sebagai negara yang sah. Perjanjian juga tidak membenarkan penindasan terhadap penganut Islam yang berada di Makkah yang tidak mampu berhijrah, di samping berlaku kebebasan dakwah tanpa halangan kerana keadaan damai. Keadaan ini menyebabkan pesatnya perkembangan Islam dalam kalangan bangsa Arab yang menyaksikan kebaikan Islam yang damai, berbeza dengan perangai Arab yang suka berperang sehingga mencetuskan huru-hara yang menyusahkan kehidupan.

Perangai kabilah Arab yang suka berperang menjadikan mereka melanggar perjanjian damai, lalu menyebabkan mereka dikalahkan dan Makkah dibebaskan untuk berada bawah pemerintahan Islam yang adil, diikuti seterusnya kejayaan Islam menumbangkan kuasa besar yang zalim.

Banyak perkara positif yang tersirat di sebalik penerimaan gencatan senjata oleh Hamas dengan mendapat sokongan sebulat suara oleh semua kumpulan Palestin dengan kurniaan Allah, yang gagal dibeli oleh Donald Trump dengan tawaran paling mahal mencecah trilion dolar Amerika Syarikat (USD).

Tentera Israel sedia berundur daripada mengepung Gaza apabila Hamas membebaskan tawanan Israel, bertukar dengan jumlah besar pembebasan rakyat Palestin yang ada antara mereka ditahan sejak bertahun-tahun lamanya.

Selain itu, pelan damai juga memecahkan sekatan bekalan makanan dan perubatan serta menghentikan serangan melulu terhadap orang awam, khususnya kanak-kanak, wanita, warga tua, dan pesakit.

Hamas diambil kira dalam perundingan yang menjadikan entitinya diiktiraf, bersama kesediaan Hamas menyerahkan Palestin untuk ditadbir oleh pihak yang dipilih bersama, termasuk kalangan teknokrat yang diterima oleh semua pihak bersama dukungan negara Arab dan Islam, menggantikan cadangan Trump untuk melantik pasukan pro-Israel yang diketuai oleh Tony Blair, mantan Perdana Menteri United Kingdom.

Pendekatan Hamas dialu-alukan oleh masyarakat antarabangsa, di samping memperkenalkan Islam dan membatalkan naratif Islamofobia yang dipropagandakan oleh media Barat yang dipengaruhi Zionis.
Walaupun Israel menolaknya, keadaan pada zaman dunia tanpa sempadan dan langit terbuka dapat menyaksikan pendekatan Islam sebenar yang mendedahkan banyak perkara yang dikelirukan dan sengaja mencari perkara negatif yang diciptakan terhadap Islam.

Islam yang dianggap melampaunya lebih bahaya daripada segala yang jahat dan zalim, terbukti sebenarnya adil dan membawa keamanan dunia serta menjadi penyelamat manusia dan alam sejagat ciptaan Allah.

Insya-Allah, peristiwa terkini yang berlaku di Gaza mendedahkan sifat kaum Zionis yang paling dimurkai Allah, bukan kaum terbaik yang diuar-uarkan dengan slogan mempertahankan jenama antisemitik yang boleh dipertikaikan.

Zionis juga sekadar berbangga dengan kitab Taurat (yang telah diselewengkan) yang diwiridkan dengan menggoyang-goyangkan seluruh badan dalam sembahyang yang berpura-pura bersama tangan mereka yang bergelumang darah manusia, khususnya para anbiya’, manusia terbaik pilihan Allah. Maka, membunuh manusia lain dengan ganas adalah terlalu kecil. Benarlah firman Allah SWT:

مَثَلُ ٱلَّذِينَ حُمِّلُواْ ٱلتَّوۡرَىٰةَ ثُمَّ لَمۡ يَحۡمِلُوهَا كَمَثَلِ ٱلۡحِمَارِ يَحۡمِلُ أَسۡفَارَۢاۚ بِئۡسَ مَثَلُ ٱلۡقَوۡمِ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِـَٔايَٰتِ ٱللَّهِۚ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ ٥

“Perumpamaan orang-orang yang dipikulkan kepada mereka Taurat, kemudian mereka tiada memikulnya ialah seperti keldai yang membawa kitab-kitab yang tebal. Amatlah buruknya perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah itu. Dan Allah tiada memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim.” [Surah al-Jumu‘ah: 5]

Firman Allah SWT:

قُلۡ هَلۡ أُنَبِّئُكُم بِشَرّٖ مِّن ذَٰلِكَ مَثُوبَةً عِندَ ٱللَّهِۚ مَن لَّعَنَهُ ٱللَّهُ وَغَضِبَ عَلَيۡهِ وَجَعَلَ مِنۡهُمُ ٱلۡقِرَدَةَ وَٱلۡخَنَازِيرَ وَعَبَدَ ٱلطَّـٰغُوتَۚ أُوْلَـٰٓئِكَ شَرّٞ مَّكَانٗا وَأَضَلُّ عَن سَوَآءِ ٱلسَّبِيلِ ٦٠

“Katakanlah, ‘Apakah akan aku beritakan kepadamu tentang orang-orang yang lebih buruk pembalasannya daripada (orang-orang fasiq) itu di sisi Allah, iaitu orang-orang yang dikutuki dan dimurkai Allah, antara mereka (ada) yang dijadikan kera dan babi dan (orang yang) menyembah taghut?’ Mereka itu lebih buruk tempatnya dan lebih tersesat dari jalan yang lurus.” [Surah al-Ma’idah: 60]

Apabila bijak dan berakal disertakan dengan kezaliman, maka keganasannya adalah lebih daripada binatang yang tidak berakal sehingga hilang sifat kemanusiaan. Tidak ada perasaan perikemanusiaan hati mereka dengan kekejaman yang dilakukan kerana kerasnya adalah lebih daripada batu. Firman Allah SWT:

ثُمَّ قَسَتۡ قُلُوبُكُم مِّنۢ بَعۡدِ ذَٰلِكَ فَهِيَ كَٱلۡحِجَارَةِ أَوۡ أَشَدُّ قَسۡوَةٗۚ وَإِنَّ مِنَ ٱلۡحِجَارَةِ لَمَا يَتَفَجَّرُ مِنۡهُ ٱلۡأَنۡهَٰرُۚ وَإِنَّ مِنۡهَا لَمَا يَشَّقَّقُ فَيَخۡرُجُ مِنۡهُ ٱلۡمَآءُۚ وَإِنَّ مِنۡهَا لَمَا يَهۡبِطُ مِنۡ خَشۡيَةِ ٱللَّهِۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَٰفِلٍ عَمَّا تَعۡمَلُونَ ٧٤

“Kemudian, setelah itu hati kamu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi, padahal di antara batu-batu itu sungguh ada yang mengalir sungai-sungai darinya, dan di antaranya sungguh ada yang terbelah, lalu keluarlah mata air darinya, dan di antaranya sungguh ada yang meluncur jatuh, kerana takut kepada Allah. Dan Allah sekali-sekali tidak lengah daripada apa-apa yang kamu kerjakan.” [Surah al-Baqarah: 74]

Tunggu dan lihat saja masa yang menentukan kesetiaan Zionis dalam menepati perjanjian yang dimeteraikan dengan penyaksian masyarakat antarabangsa, walaupun kesetiaan mereka kepada perjanjian tidak boleh dipercayai, kerana mereka boleh mengkhianati Allah dan Rasul-Nya. Mereka boleh menolak dengan pelbagai penipuan.

Langkah bijak Hamas memerlukan kepada menarik nafas bagi mengumpul kekuatan dan meneruskan perjuangan yang masih belum selesai, bukan makna berundur dan menyerah terhadap kezaliman, kerana haram berundur menyerah kalah. Namun, dibenarkan berundur mengambil langkah bagi meneruskan perjuangan dengan mengorak langkah baharu dalam helah peperangan ataupun membina kekuatan baharu dengan gabungan anggota tambahan atau persediaan baharu. Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِذَا لَقِيتُمُ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ زَحۡفٗا فَلَا تُوَلُّوهُمُ ٱلۡأَدۡبَارَ ١٥ وَمَن يُوَلِّهِمۡ يَوۡمَئِذٖ دُبُرَهُۥٓ إِلَّا مُتَحَرِّفٗا لِّقِتَالٍ أَوۡ مُتَحَيِّزًا إِلَىٰ فِئَةٖ فَقَدۡ بَآءَ بِغَضَبٖ مِّنَ ٱللَّهِ وَمَأۡوَىٰهُ جَهَنَّمُۖ وَبِئۡسَ ٱلۡمَصِيرُ ١٦

 

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir yang sedang menyerangmu, maka janganlah kamu membelakangi mereka (mundur)! (15) Sesiapa yang membelakangi mereka (mundur) pada waktu itu, kecuali berbelok untuk (siasat) perang atau hendak menggabungkan diri dengan pasukan yang lain, maka sesungguhnya, orang itu kembali dengan membawa kemurkaan daripada Allah, dan tempatnya ialah Neraka Jahannam. Dan amat buruklah tempat kembalinya. (16)” [Surah al-Anfal: 15–16]

Islam tetap dipelihara Allah daripada tipu helah musuhnya kerana janji Allah Yang Maha Benar, walaupun musuhnya menggunakan senjata pemusnah yang menghancurkan bukit bukau dan gunung-ganang, sebagaimana firman Allah SWT:

وَقَدۡ مَكَرُواْ مَكۡرَهُمۡ وَعِندَ ٱللَّهِ مَكۡرُهُمۡ وَإِن كَانَ مَكۡرُهُمۡ لِتَزُولَ مِنۡهُ ٱلۡجِبَالُ ٤٦ فَلَا تَحۡسَبَنَّ ٱللَّهَ مُخۡلِفَ وَعۡدِهِۦ رُسُلَهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٞ ذُو ٱنتِقَامٖ ٤٧

“Dan sesungguhnya, mereka telah membuat perancangan yang besar, padahal di sisi Allahlah (balasan) perancangan mereka itu. Dan sesungguhnya, walaupun perancangan mereka itu (amat besar) sehingga gunung-gunung dapat lenyap kerananya. (46) Oleh sebab itu, janganlah sekali-kali kamu mengira Allah akan menyalahi janji-Nya kepada rasul-rasul-Nya. Sesungguhnya, Allah Maha Perkasa, lagi mempunyai pembalasan. (47)” [Surah Ibrahim: 46–47]

Walaupun pelan damai masih menjadi pertikaian dan perdebatan di Israel, maka ditegaskan inilah Islam yang nyata dan terang tanpa ada yang disembunyikan; bahawa Islam tiada paksaan, terpulang kepada semua pihak bagi menentukan pendirian. Firman Allah SWT:

وَقُلِ ٱلۡحَقُّ مِن رَّبِّكُمۡۖ فَمَن شَآءَ فَلۡيُؤۡمِن وَمَن شَآءَ فَلۡيَكۡفُرۡۚ إِنَّآ أَعۡتَدۡنَا لِلظَّـٰلِمِينَ نَارًا أَحَاطَ بِهِمۡ سُرَادِقُهَاۚ وَإِن يَسۡتَغِيثُواْ يُغَاثُواْ بِمَآءٖ كَٱلۡمُهۡلِ يَشۡوِي ٱلۡوُجُوهَۚ بِئۡسَ ٱلشَّرَابُ وَسَآءَتۡ مُرۡتَفَقًا ٢٩

“Dan katakanlah, ‘Kebenaran itu datangnya daripada Tuhanmu. Maka, sesiapa yang ingin (beriman), hendaklah dia beriman, dan sesiapa yang ingin (kafir), biarlah dia kafir.’ Sesungguhnya, Kami telah sediakan bagi orang-orang zalim itu Neraka, yang gejolaknya mengepung mereka. Dan jika mereka meminta minum, nescaya mereka akan diberi minum dengan air seperti besi mendidih yang menghanguskan muka. Itulah minuman yang paling buruk dan tempat istirahat yang paling jelik.” [Surah al-Kahf: 29]

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 15 Rabi‘ al-Akhir 1447 / 7 Oktober 2025