“Beramal Kerana Allah” | Jabatan Amal Malaysia Negeri Selangor
Oleh : Shehdi Hazrik Shamsudin
Pengarah Task Force Vaksin Negeri Selangor
Perkara penting yang kita perlu tahu adalah vaksin ini bukanlah ubat yang menyembuhkan penyakit, tetapi ia mengandungi agen penyebab penyakit yang telah dimatikan menggunakan kaedah tertentu, namun struktur membran dan antigen masih dalam keadaan baik agar sistem imun badan manusia mampu mengenalpasti kuman tersebut.
Tak kenal maka tak cinta, itulah cara imunisasi badan kita bertindak, jika sudah kenal kuman atau virus maka imunisasi dalam badan kita mampu bertindakbalas terhadap kuman atau virus tersebut tanpa menyebabkan penyakit lain dan ia lebih stabil kerana tidak akan ada mutasi ke atas kuman yang telah mati.
Kebimbangan kes kematian selepas menerima vaksin COVID-19 yang dilaporkan di media massa kebelakangan ini menyebabkan orang awam menjadi panik dan mula mempercayai bahawa kes-kes kematian ini adalah kerana kesan pengambilan vaksin COVID-19.
Kenyataan tersebut sebenarnya tidak tepat dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sendiri telah menerangkan dan melaporkan bahawa kes kematian yang berlaku kepada penerima vaksin adalah kerana penyakit yang sedang dialami selain penerima tersebut memiliki sejarah penyakit kronik.
Walau bagaimanapun, ada usaha pihak-pihak tertentu cuba menafikan dengan menyatakan penerima vaksin tersebut dalam keadaan yang sihat sebelum ini dan tidak mempunyai penyakit kronik, namun sebenarnya ramai daripada kita tidak mengetahui bahawa mereka sedang menghidap penyakit kronik.
Kita boleh lihat daripada beberapa laporan hasil tinjauan kajian 2019 mendapati sekitar 8.9% rakyat Malaysia tidak mengetahui bahawa mereka mempunyai penyakit diabetes, 14.1% rakyat Malaysia tidak mengetahui yang mereka ada penyakit darah tinggi dan kita tahu kolesterol tinggi penyebab sakit jantung namun laporan menyebut 24.6% rakyat Malaysia tidak menyedari mereka mempunyai kolesterol tinggi.
Ini bermakna, ramai daripada kita sebenarnya tidak sedar bahawa kita mempunyai penyakit kronik seperti darah the tinggi, diabetes dan sakit jantung sehinggalah kita melakukan pemeriksaan penuh di hospital atau klinik.
Hasil tinjauan ini menunjukkan bahawa penampilan luaran tidak menjamin bahawa seseorang itu berada dalam keadaan sihat sepenuhnya, mungkin juga kita menghidap penyakit kronik yang boleh menyebabkan kematian pada bila-bila masa.
Keadaan mereka yang menghidap penyakit kronik akan menjadi bertambah buruk apabila dijangkiti virus Covid-19 dan ia dapat dilihat apabila kebanyakan kes-kes kematian akibat virus COVID-19, kesemuanya menghidap atau mempunyai sejarah penyakit kronik.
Kematian juga boleh berlaku disebabkan faktor risiko yang sama walaupun tidak dijangkiti dengan virus Covid-19, jadi dakwaan mati kerana vaksin adalah tidak tepat sama sekali.
Saya menasihati diri saya dan juga semua rakyat Malaysia agar kita amalkan tabiat mendapatkan sumber berita yang sahih daripada pihak yang bertanggungjawab, elakkan daripada membaca berita medsos yang bersifat sensasi tanpa melihat kepada pembuktian jelas daripada pihak berwajib.
Jangan biarkan perasaan ketakutan dan panik yang tidak berasas ini menguasai diri anda, hanya kerana mempercayai berita yang kurang tepat yang dilaporkan dengan cara yang tidak beretika dan tidak bertanggungjawab.
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor