Oleh: Mimi Hazwa M.Shom
15 MAC 2023
KENINGAU: Guru pelatih semester 6 Institut Latihan PASTI Malaysia (ILPM) dengan kerjasama Majlis Guru PASTI Keningau (MGPK) telah menganjurkan kem smart solat yang mensasarkan kanak-kanak berumur 6 hingga 12 tahun di sekitar Keningau.
Kem smart solat ini telah dijalankan di Masjid At Taqwa kelmarin. Seramai 67 orang peserta termasuk ahli jawatankuasa, barisan fasilitator, perasmi dan penceramah yang telah menghadiri kem smart solat sesi kali ini.
Melalui kem ini, peserta dapat mempelajari berkenaan wuduk, bacaan dan tertib-tertib dalam solat. Kesalahan-kesalahan dan penerangan berkenaan rukun dalam solat telah disampaikan oleh penceramah, Mohd Yusoff Che Mood yang merupakan seorang guru yang juga aktif dan sering dipanggil di sekolah-sekolah rendah dan menengah untuk menyampaikan program berkaitan solat di daerah keningau.
Ilmu berkenaan solat ini perlulah dipelajari terutama sejak dari usia muda lagi dengan mengambil objektifnya iaitu membina keyakinan kanak-kanak bahawa pentingnya dan wajibnya mendirikan solat dalam kehidupan seorang muslim dan tahu membezakan amalan sunat dan amalan wajib dalam solat.
“Semoga anak-anak yang mengikuti kem smart solat ini akan terus melaksanakan apa yang telah dipraktikkan sepanjang kem ini berjalan,” ujar Ridzqan Wirahadi Kusuma Usup, Ketua Pemuda Kawasan merangkap Pengerusi PASTI Kawasan Keningau.
Beliau juga menyatakan harapan agar anak-anak ini dapat menyampaikan ilmu yang mereka dapat sepanjang kem tersebut kepada ahli keluarga dan rakan-rakan yang lain.
Kem smart solat ini turut dimeriahkan dengan kuiz dan penyampaian hadiah dalam kalangan peserta yang disampaikan oleh pengarah kem smart solat 2023 iaitu Siti Nurbaiyah Ishak.