Home Berita PAS Pahang

Kelulusan pihak berwajib dan suara penduduk perlu sebelum laksanakan projek

100
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA, 24 Mac – Pihak pelaksana projek diseru agar memastikan prosedur yang ditetapkan oleh agensi-agensi berkuasa diikuti dan dipatuhi sepenuhnya sebelum melaksanakannya.

“Sebarang projek pembangunan atau infrastruktur perlu ikuti prosedur dan peraturan selain mengambil kira suara penduduk,” kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah Andansura Rabu.

Beliau berkata demikian dalam sesi pertemuan yang diadakan antara pihak pelaksana projek dengan agensi-agensi berkuasa yang terlibat dalam projek pemasangan menara telekomunikasi 5G di Taman PSJ Sungai Karang semalam.

Pembinaan projek berhampiran dengan tapak surau telah dipertikaikan oleh penduduk di taman tersebut.

Menurut Andansura, pihak kontraktor telah menghentikan kerja-kerja pembinaan sehingga mendapatkan maklum balas daripada agensi-agensi berkuasa sama ada menyiapkan kerja-kerja pembinaan atau memindahkan menara tersebut ke tapak yang lain.

“Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang melapangkan masa untuk sesi pertemuan yang diadakan serta kerjasama yang sangat baik.

“Pihak saya berharap projek tersebut dapat berjalan dengan lancar mengikut jadual untuk kebaikan kepada masyarakat tanpa mengenepikan peraturan pihak berkuasa serta keselamatan dan kepentingan awam.

Wakil-wakil yang hadir adalah dari Majlis Bandaraya Kuantan, Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Koridor Utiliti Pahang, Pahang Corporation Sdn Bhd, Digital Nasional Berhad, Shahzan Alam Muda Sdn Bhd, Citaglobal Telecommunications Sdn Bhd dan Ahli Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman PSJ.