KUALA TERENGGANU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr. Mamad Puteh mengambil perhatian serius termasuk dengan membina rumah baharu bagi membela nasib Mat Nasir Islam, 48, serta isterinya, Mazilah Mansor.
Mereka dikatakan tinggal di sebuah pondok usang bersama anak dan cucu, tiga daripada mereka masih bersekolah termasuk seorang anak yang dikategorikan Orang Kelainan Upaya (OKU).
Dr. Mamad berkata, pada Khamis lalu pihaknya melalui pegawai khas dan kakitangan Pejabat DUN serta Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Hulu Terengganu telah menziarahi mereka dan mengambil maklum keadaan yang dialami oleh keluarga yang mengalami kesempitan hidup terbabit.
“Meskipun serba terbatas, mereka tetap tabah meneruskan kehidupan dengan bergantung kepada bantuan bulanan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (MAIDAM) yang sudah lama disalurkan.
“Hari ini (kelmarin) saya bersama pihak Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Terengganu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan MAIDAM turut turun sekali lagi bagi menilai keadaan semasa.
“Pihak kami juga cuba untuk mengenal pasti bentuk bantuan tambahan yang boleh disalurkan demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup keluarga ini,” ujarnya menerusi satu hantaran di facebook rasminya, semalam.
Terdahulu Mazilah memaklumkan masalah dialami mereka telah lama mendapat perhatian MAIDAM yang menyumbang zakat sebanyak RM3,000 setahun.
Selain itu, dia memaklumkan juga turut menerima bantuan khas untuk anak OKU sebanyak RM1,800 daripada JKM.
Dalam pada itu, Pegawai Khas ADUN, Arif Azlan memaklumkan Dr Mamad berusaha bagi memastikan sebuah rumah baru akan dapat didirikan untuk keluarga terbabit.
“Pihak DUN telah bertemu dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Prihatin, cuma sekarang ini kalau menurut Mazilah tanah ini telah diusahakan sudah 20 tahun.
“Apabila kita semak dengan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Terengganu, tanah ini baru dipohon oleh keluarga ini pada April yang lalu, jadi kita tunggu kelulusan untuk mendirikan rumah yang lebih baik untuk didiami oleh keluarga ini,” ujarnya.