Home Kenyataan Media PAS Selangor

KELEMAHAN URUS KERAJAAN PH SELANGOR SEMAKIN KETARA

254 views
SHARE

KENYATAAN MEDIA PESURUHJAYA PAS NEGERI SELANGOR

KELEMAHAN URUS KERAJAAN PH SELANGOR SEMAKIN KETARA

Membaca kenyataan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor jelas menunjukkan kerajaan negeri Pakatan Harapan Selangor tidak berupaya dan berkemampuan untuk mentadbir dan mengurus negeri dengan baik.

Pegawai berkenaan dengan senang dan tiada sedikit rasa bersalah menyatakan kerajaan negeri tidak terbeban membayar hutang kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk pembelian syarikat air SPLASH sejumlah RM1.9billion – 10 kali ganda daripada tawaran asal. Alasan beliau kerana bayaran balik dibuat dalam jangka masa panjang.

Beliau juga mendabik dada kerana kerajaan negeri Pakatan Harapan telah membelanjakan sejumlah RM628 juta melalui program kebajikan IPR; yakni dua kali ganda lebih banyak daripada dana yang dikeluarkan untuk MES ketika Tan Sri Khalid Ibrahim memegang jawatan MB.

Persoalannya adakah beliau akan juga mendabik dada apabila rizab kerajaan negeri semakin menurun sejak 2015. Laporan tahunan Akauntan Negara jelas menunjukkan prestasi kewangan kerajaan negeri mengikut Baki Wang Yang Disatukan menurun secara sistematik iaitu RM3.2 billion (2014), RM3.25 billion (2015), RM3.051billion (2016) dan RM2.82 billion (2017).

Adakah beliau bangga bahawa Kerajaan Negeri mengakhiri tahun kewangan 2017 dengan defisit pada Akaun Hasil Disatukan berjumlah RM368.56 juta berbanding defisit pada tahun 2016 berjumlah RM144.66 juta dengan peningkatan sejumlah RM223.90 juta (154.8%).

Mengikut laporan Akauntan Negara, ini telah disebabkan kesan daripada peningkatan perbelanjaan sejumlah RM534.34 juta (20.2%) melebihi peningkatan hasil sejumlah RM310.44 juta (12.4%). Dengan mengambil kira defisit ini, baki terkumpul Akaun Hasil Disatukan tahun 2017 berkurangan menjadi RM1.08 bilion berbanding RM1.45 bilion pada tahun 2016.

Kerajaan yang berkebolehan serta bertanggungjawab tidak akan membelanjakan wang dengan sewenang-wenangnya tanpa memikirkan keperluan pada masa hadapan. Serakah politik PH untuk memenangi PRU14 yang lalu adalah begitu besar dan akhirnya rakyatlah yang menjadi mangsa.

Jika dahulu mereka sanggup membelanjakan RM628 juta kononnya untuk program rakyat, sekarang sudah tidak banyak lagi dana untuk dibelanjakan justeru kebanyakan program rakyat seperti SMUE, TAWAS dan Hadiah Perkahwinan untuk Belia telah ditamatkan. Malah banyak program seperti KISS tiada lagi kedengaran berita, umpama tergantung tanpa tali.

Berbalik kepada pembelian SPLASH, alasan kononnya ianya pinjaman jangka panjang adalah alasan dangkal dan tidak bertanggungjawab. Apa yang pasti, bayaran tetap perlu dibuat kepada SPAN dan akan berterusan selama 9 tahun lagi. Alangkah baiknya jika dana yang digunakan membayar hutang ini digunakan untuk membiayai program-program kebajikan untuk rakyat.

Saya yakin rakyat tidak lupa bahawa pembelian SPLASH pada harga 10 kali ganda lebih tinggi akan menjejaskan program air percuma 20 meter kubik yang diberi kepada semua rakyat, serta kenaikan tarif air yang lebih tinggi daripada yang dirancangkan.

Rakyat juga pasti tahu aset berkaitan air milik kerajaan negeri yang bernilai RM2 billion sebelum ini telah dipajakkan kepada SPAN dan bagi mendapatkan pinjaman membeli SPASH pada harga 10 kali ganda tersebut akan menyebabkan kerajaan negeri perlu membayar sewa pada kadar lebih tinggi dan tempuh yang lama. Malah pasti terdapat terma dan syarat-syarat baharu yang ditetapkan di dalam perjanjian di antara PAAB dan Air Selangor.

Paling mengewakan, perancangan memberi saham syarikat air milik kerajaan negeri kepada rakyat tidak lagi boleh diteruskan. Mereka tiada kemampuan dan kebolehan untuk melaksanakan impian rakyat yang memberi mandat kepada mereka.

USTAZ SALLEHEN BIN MUKHYI
Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor.

Jumaat 3 Mei 2019