Home Berita PAS Pahang

Kelas 3T perlu perkukuhkan dengan aktiviti dakwah

41
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

KUANTAN, 19 Dis – Muslimat Kelas 3T (talaqi, tajuid dan tadabur) diseru untuk berperanan tidak hanya terhad kepada pembelajaran al-Quran, tetapi juga perlu memperkukuhkan dengan aktiviti dakwah.

“Kita bukan sekadar mengaji al-Quran tetapi perlu ditambah dengan kerja-kerja dakwah, apatah lagi di zaman sekarang yang telah banyak gejala sosial, kadang-kadang bukan di luar rumah, tetapi di dalam rumah pun berlaku,” ujar Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Indera Mahkota.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Khatam Tadarus al-Quran Kelas 3T kali ke-4/2024 di Seberang Balok di sini kelmarin.

Beliau juga menyarankan kepada golongan muda yang hadir, agar mengambil inspirasi dari pembimbing mereka, Ustazah Hasnah Arshad yang telah berusia lebih 80 tahun, namun masih gigih mengajar al-Quran kepada masyarakat.

“Sebagai seorang guru, sudah pasti beliau berbangga melihat pencapaian anak-anak murid yang lebih baik daripadanya. Justeru, saya berharap Kelas 3T dapat berkembang menjadi platform yang memberi contoh akhlak yang baik kepada generasi muda, kerana akhlak adalah fardhu ain yang wajib dipelajari dan diamalkan,” katanya.

Tambah beliau lagi, muslimat Kelas 3T perlu memperluaskan lagi peranan mereka dengan mendaftarkan pertubuhan sebagai NGO di bawah ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia), agar dapat berkembang dengan lebih sistematik dan memberi impak yang lebih besar dalam masyarakat.

Menurutnya, pendaftaran sebagai NGO akan memberi Kelas 3T pengiktirafan yang lebih kukuh, serta membuka ruang untuk mendapatkan sokongan dana dan kerjasama dari pelbagai pihak, sekali gus meningkatkan keberkesanan program-program yang dijalankan.

Sementara itu, pengarah program Nurul Fadhilah Hashim menyatakan bahawa Majlis Khatam Tadarus al-Quran ini dirancang khusus untuk memberikan pengiktirafan kepada pelajar-pelajar Kelas 3T yang berjaya mengkhatamkan al-Quran serta mengikuti tadarus al-Quran berdasarkan konsep 3T, iaitu Talaqqi, Tajwid, dan Tadabbur.

Beliau menambah, majlis ini turut menghimpunkan pelajar-pelajar daripada pelbagai kelas dan surau, bukan sahaja untuk saling berkenalan, tetapi juga bagi memperkukuhkan ukhuwah dalam usaha memartabatkan al-Quran.

Katanya, penyatuan ini diharap dapat membina kekuatan bersama dalam melaksanakan kerja-kerja amar makruf nahi mungkar, sebagaimana yang dituntut dalam al-Quran.

Nurul Fadhilah juga turut merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Ustazah Hasnah Arshad, guru pembimbing mereka di atas kesudian menerima kehadiran mereka serta memberikan bimbingan yang tidak ternilai.

“Kami berharap program ini dapat melahirkan individu yang berkualiti, berkemahiran tinggi, dan berakhlak mulia. Semoga segala bentuk kerjasama dan komitmen yang terjalin ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya lagi.

Guru pembimbing Kelas 3T Ustazah Hasnah Arshad. melahirkan rasa terharu atas usaha gigih anak-anak muridnya yang berjaya menganjurkan program Majlis Khatam al-Quran kali ke-4 dengan penuh meriah dan pengisian yang amat bermakna.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Pengerusi Masjid Balok Makmur Roslan Awang, dan Pengerusi Surau Al-Furqan PSJ Mohamad Ghauth Razali, atas kehadiran mereka dan sokongan berterusan yang diberikan kepada Kelas 3T dalam memastikan pengajian al-Quran dapat dijalankan dengan lancar.

Dalam ucapannya, beliau berharap anak-anak muridnya sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak masjid dan surau serta memberikan kerjasama yang baik dalam setiap program.

“Saya sangat terharu kerana di penghujung usia ini, kehadiran anak-anak murid saya menjadi terapi yang memberi semangat untuk saya terus bergerak aktif hingga ke hari ini,” katanya.

Program ini turut dimeriahkan dengan pengisian Majlis Khatam al-Quran di bawah bimbingan Ustazah Norzilah Hussain, bacaan ayat-ayat suci al-Quran secara bertaranum, dan ceramah motivasi oleh Pensyarah Tarannum Negeri, Dato’ Ahmad Faizul Ghazali, yang juga merupakan Johan Qari Tilawah al-Quran Antarabangsa 2003.

Anugerah Pelajar Cemerlang telah disampaikan oleh Ahmad Faizul kepada Rahimah Mustafa, Razana Jaafar, Norsura Amin, Fatin Nur Liyana Othman, Normah Ibrahim dan Rohana Abdullah.

Manakala lapan orang Guru Sukarelawan terbaik kepada Azizah Abdul Rahman, Salbiah Abdul Hamid, Fauziah Talib, Hasmah Mamat, Rohaya Yahya, Rohana Hussin, Narziah Abd. Wahab dan Rapeah Mohd Nor.

Seramai 70 peserta telah menghadiri majlis ini, yang melibatkan para Muslimat daripada Masjid Balok Makmur (Selasa dan Khamis), Surau Al-Furqan PSJ, Surau TBJ2, Surau Tengah Balok, Surau Ar-Rahman, dan Surau Batas Sungai Karang Pantai.