Home Berita PAS Terengganu

Kelantan ‘Rampas’ Kejuaraan National 7s 2025

6
SHARE

KUALA NERUS – Skrip berbeza ditampilkan dalam saingan terbuka lelaki Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Kebangsaan (National 7s) 2025 apabila juara bertahan tahun lalu, Johor tumpas kepada pasukan pantai timur, Kelantan dalam perlawanan akhir sebentar tadi.

Kelantan mendahului 10-5 pada separuh masa pertama dalam aksi sengit antara kedua-dua pasukan.

Memasuki separuh masa kedua, Johor tidak menunggu lama untuk melakukan satu try dan menyempurnakan conversion bagi mendahului 12-10.

Pada minit terakhir perlawanan, Kelantan berjaya melakukan satu try dan conversion menerusi pemain kebangsaan, Amar Zamri sekaligus menutup kebangkitan Johor dengan skor 17-12.

Menurut jurulatih Kelantan, Mohamad Syarif Sudin, pasukannya berjaya membawa pulang kembali piala National 7s selepas tujuh tahun.

“Tahun 2018 di Ipoh adalah kali terakhir kita bawa pulang piala dan Alhamdulillah, kita berjaya bawa kembali piala ke Kelantan kali ini.

“Kita menduduki tempat ketiga pada tahun 2023. Manakala, tahun lalu kita hanya dapat hantar pasukan junior untuk bermain di kategori terbuka lelaki.

“Kemenangan ini amat besar (maknanya) untuk negeri Kelantan, di bawah exco yang baru ramai pemain bersemangat kembali bermain untuk Kelantan.

“(Ragbi) Kelantan bermula dengan landasan yang baik. Insya-Allah, kita akan kekalkan momentum ini untuk ke peringkat seterusnya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan tadi.

Dalam pada itu, pasukan Kelantan turut menduduki tempat ketiga bagi kategori bawah 21 tahun lelaki.

Kelantan membawa pulang hadiah berupa piala dan piala pusingan National 7s, pingat dan wang tunai RM5,000.