Home Kenyataan Media PAS Wilayah

Kekalkan MSN Taman Keramat Sebagai Tapak Sukan & Rekreasi Kuala Lumpur

856
SHARE

Kenyataan Media

Kekalkan MSN Taman Keramat sebagai Tapak Sukan & Rekreasi Kuala Lumpur

Dewan Pemuda PAS Kawasan Setiawangsa (DPPKSW) memandang serius hasrat Menteri Belia Dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin untuk memindahkan Pusat Latihan Atlit di MSN Taman Keramat ke kompleks baru yang akan dibina di Negeri Sembilan seterusnya menyerahkan kembali tapak terbabit kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur(DBKL). Yang membimbangkan DPPKSW ialah pihak DBKL akan menyerahkan tapak berkenaan kepada pihak pemaju untuk dibangunkan.

DPPKSW melihat ini sebagai salah satu contoh bagaimana pihak DBKL lebih mengutamakan projek-projek mewah yang rakyat mampu tengok berbanding merakyatkan kemudahan sukan untuk warga Kuala Lumpur. Pihak DBKL seolah-olah lebih suka melihat tanah-tanah milik kerajaan dibangunkan dengan kondo mewah dan pusat membeli belah berbanding memperbanyakkan kawasan rekreasi untuk warga kota. Ini belum lagi dikira jumlah padang awam di Kuala Lumpur yang boleh dibilang dengan jari, malah kompleks sukan & padang sedia ada yang dimanfaatkan warga Setiawangsa pula hendak diambil untuk pembangunan.

Pihak Dewan Pemuda PAS Setiawangsa tidak menolak langkah Kementerian Belia & Sukan (KBS) menyerahkan Kompleks MSN Taman Keramat kepada DBKL, tetapi KBS mesti memastikan tapak berkenaan kekal sebagai tapak aktiviti sukan dan rekreasi untuk warga Kuala Lumpur dan Setiawangsa. DPPKSW melihat pihak KBS perlu lebih bertegas dalam isu ini. KBS perlu memastikan tiada seinci pun kawasan padang awam & kawasan rekreasi dijadikan kawasan komersial.

DPPKSW mencadangkan pihak DBKL & KBS bekerjasama membangunkan kawasan ini dengan konsep hub sukan seperti yang sedang dilaksanakan di Kompleks Sukan Bukit Jalil. Malah mengambil kira permintaan anak muda semasa dan kejayaan pasukan ragbi negara, DPPKSW mencadangkan hub sukan ini dibina berorientasikan sukan ragbi dengan sebuah stadium ragbi dibina di tapak terbabit. Sudah tiba masanya sukan ragbi diberi sebuah stadium bertaraf nasional.

Dewan Pemuda PAS Setiawangsa sekali lagi menegaskan yang kami tidak bersetuju dengan langkah DBKL untuk membangunkan Kompleks MSN Taman Keramat untuk tujuan komersial. Warga Kuala Lumpur & Setiawangsa ketandusan kompleks sukan & rekreasi dan sebarang usaha untuk mengurangkannya tidak mampu menyelesaikan masalah ini.

“Majulah Sukan untuk Negara”

Ubaid Abd Akla
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Setiawangsa

 

{jathumbnail off}