KUALA NERUS – Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT), Ustaz Harun Esa menyeru seluruh saf kepimpinan dan ahli pemuda memberikan tumpuan penuh untuk mempertahankan kemenangan mutlak PAS di negeri itu pada pilihan raya umum akan datang.
Berucap dalam menghuraikan Tema Muktamar DPPNT Kali ke-56, beliau menegaskan, mengekalkan kemenangan 40-0 adalah lebih sukar daripada meraihnya, justeru tenaga pemuda perlu digembleng sepenuhnya.
“Lelah, letih dan rehat bukan pada zaman pemuda. Kemenangan ini satu amanah besar yang mesti dipertahan.
“Kemenangan PAS di semua 40 kerusi DUN bukan milik kita seorang, tetapi milik seluruh rakyat yang mahukan Islam sebagai teras pentadbiran,” katanya penuh semangat.
Beliau turut mengingatkan para hadirin, realiti menghasilkan tenaga pelapis adalah satu cabaran mendesak dan tidak boleh dipandang ringan.
“Jika kita kekurangan pelapis yang mantap, itulah gambaran kegagalan kita pada masa hadapan.
“Maka tenaga muda berkualiti wajib dibina melalui tarbiyah, dakwah, kebajikan dan saf-saf penting seperti JPR, JPM, Kadet Amal dan ARC,” katanya.
Ustaz Harun turut menekankan para Pemuda, sangat penting memperkukuh kesatuan dalam bekerja dan menolak segala bentuk perpecahan.
Beliau mengingatkan bahawa kekuatan siasah PAS, terletak pada asas perjuangan Islam, tarbiah dan dakwah, yang tidak dimiliki oleh lawan politik.
Dalam nada muhasabah, beliau memuji prestasi DPPNT yang semakin teratur dari aspek pentadbiran dan pengurusan ekonomi sejak 2021.
“termasuk peningkatan gred cawangan dan penambahan aset seperti kenderaan rasmi dan pejabat baharu DPPNT, semuanya diperoleh tanpa komitmen bulanan atau hutang.” jelasnya.
Menutup ucapannya, beliau mengingatkan seluruh ahli pemuda untuk menyertai perhimpunan besar-besaran di Kuala Lumpur pada 26 Julai ini, membawa mesej besar ‘Selamatkan Negara, Turun Anwar’.
“Negara ini perlu diselamatkan. Negara ini perlu stabil, bukan dikuasai oleh tindakan yang merugikan rakyat. Insya-Allah, Pemuda Terengganu akan turun dengan penuh tekad,” ujarnya.