رَبِّ اجْعَلْ هٰذَا بَلَدًا اٰمِنًا
“Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini negeri yang aman.” (Al-Baqarah:126)
Nikmat kedaulatan dan kemerdekaan adalah sebuah anugerah dari Allah SWT yang seharusnya disyukuri oleh setiap warganegara.
Sejak 64 tahun merdeka, begitu banyak ranjau dan cabaran yang telah Malaysia hadapi namun sinergi antara pemimpin dan sesama rakyat membuktikan bahawa kita masih mampu mempertahankan keharmonian di samping membangun negara ini.
Justeru, marilah kita menjiwai kemerdekaan ini dengan berusaha mewujudkan suasana aman damai dalam masyarakat tanpa mengira perbezaan pendapat, agama mahupun warna kulit.
Tema sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun ini iaitu Malaysia Prihatin sewajarnya dimanifestasikan melalui sikap keprihatinan kita sebagai Keluarga Malaysia dalam mendepani apa jua cabaran seperti pandemik Covid-19 yang belum berlalu ini.
Sempena 31 Ogos 2021 ini, Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan ingin mengucapkan Selamat Hari Kemerdekaan yang ke-64 buat seluruh rakyat Malaysia walau di mana anda berada.
Merdeka! Merdeka! Merdeka!
DEWAN MUSLIMAT PAS WILAYAH PERSEKUTUAN
31 Ogos 2021 | 15 Muharram 1443 H