SETIU – Kejohanan Kuda Lasak Piala Yang Di-Pertuan Muda Terengganu 2023 di Terengganu International Endurance Park (TIEP), Lembah Bidong telah melabuhkan tirainya awal pagi tadi.
Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Kuda Lasak Piala Yang Dipertuan Muda dan Sultan Mizan Cup 2023 bertempat di TIEP, Lembah Bidong, Setiu.
Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama isteri, To’ Puan Seri Faezah Tuan Abd Rahman serta Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.
Kejohanan Kuda Lasak tersebut telah berlangsung selama tiga hari bermula 15, 16 dan 17 September iaitu pada hari Khamis hingga Sabtu.
Seramai 129 peserta yang menyertai kuda lasak pada kali ini terdiri dari dalam dan luar negara.
Majlis penyampaian hadiah pada pagi ini, melibatkan empat kategori iaitu CEN 40 KM, CEN 80 KM, CEN 100 KM, dan CEI 1*100 KM.
Terdahulu, Menteri Besar telah menyempurnakan majlis pelepasan Kejohanan Kuda Lasak Piala Yang Di-Pertuan Muda Terengganu 2023 di sini.
“Kejohanan tahunan ini sentiasa dinanti-nantikan oleh peminat sukan kuda lasak dan disertai oleh peserta dari seluruh Malaysia.
“Selamat maju jaya dan tahniah buat semua peserta yang terlibat dalam acara ini,” ujarnya.
Majlis yang bermula jam 9 pagi itu turut diserikan dengan persembahan alunan muzik dan nyanyian oleh Suktra, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT).
Baginda sempat meluangkan masa beramah mesra dengan para peserta dan bersalaman dengan para hadirin yang hadir sebelum berangkat pulang pada jam 10.30 pagi.