Nurul Hazimah
23 Julai 2024
KALABAKAN : “Kesungguhan, semangat dan kerjasama akan melahirkan anak-anak yang hebat sehingga dapat mencipta kejayaan, kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah merangkap yang dipertua PAS kawasan Kalabakan, Ahmad Dullah.
Menurutnya, dengan sokongan yang berterusan dari semua pihak serta gandingan daripada para guru, ibu bapa dan pengurus PASTI akan mampu meraih kejayaan demi kejayaan.
Selain itu, katanya, aktiviti kokurikulum seperti ini dapat melahirkan anak-anak yang sihat dari segi jasmani dan rohani.
Katanya lagi, “aktiviti kejohanan seperti ini dapat membantu dalam perkembangan anak-anak dan meningkatkan daya berfikir dalam merangka strategi untuk mencapai kemenangan dalam kumpulan.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kejohanan Bola Sepak dan Bola Jaring (BSBJ) PASTI Pra Tahfiz Kawasan Kalabakan semalam.
Turut hadir semasa Kejohanan BSBJ Ketua Pemuda Kalabakan Razman Roslee, Timbalan Ketua Pemuda, Syafiq Salehuddin, Naib Ketua Pemuda, Akhmal Ridwan serta ahli jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Kawasan Kalabakan.
Kejohanan Bola Sepak dan Bola Jaring PASTI Pra Tahfiz meriah dengan kehadiran seramai 160 pelajar dan 400 wakil ibu bapa PASTI yang melibatkan 8 buah PASTI di kawasan Kalabakan.
Turut memeriahkan suasana Kejohanan Bola Sepak dan Bola Jaring PASTI Pra Tahfiz Kalabakan kali ini adalah pelbagai juadah yang di bawa oleh ibu bapa mengikut PASTI masing-masing.
Selain itu, turut mendapat sambutan semasa sukaneka dilaksanakan adalah kaunter pendaftaran ahli PAS dan gerai jualan yang ada.
Johan bagi Kejohanan Bola Jaring tahun 2024 di sandang oleh PASTI Pra Tahfiz Al Abqori Felda Umas manakala Johan bagi Bola Sepak di sandang oleh PASTI Pra Tahfiz Al Amin Pasir Putih.