Home Berita PAS Terengganu

Kejayaan 2024 hasil semangat, kerja keras bersama

71
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kejayaan yang dicapai negeri ini sepanjang tahun bukan usaha individu semata-mata, tetapi hasil semangat kerja keras bersama.

Naib Presideb PAS, YAB Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata, hubungan antara kedua-dua pihak diantara kerajaan negeri dan rakyat sebagai asas penting untuk pembangunan negeri.

“Segala usaha dan perancangan yang dilaksanakan adalah untuk memastikan setiap lapisan masyarakat dapat merasai nikmat pembangunan secara adil dan saksama.

“Kejayaan yang kita kecapi bukanlah hasil usaha individu semata-mata, bahkan hasil kerjasama erat antara kerajaan dan rakyat.

“Sebagaimana kata pepatah, “seikat bagai sirih, serumpun bagai serai,” begitulah yang kita cuba terapkan dalam pentadbiran negeri,” jelasnya.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu demikian dalam satu kenyataan sempena kedatangan tahun baharun2025 semalam.

Ahmad Samsuri turut menjelaskan bahawa setiap usaha pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan bertujuan memastikan manfaat dirasai secara adil dan saksama oleh semua lapisan masyarakat.

Komitmen ini, menurutnya, menjadi kunci kepada pencapaian visi “Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera.

Justeru itu, beliau menyeru kepada rakyat Terengganu untuk terus menyokong usaha kerajaan dalam memacu pembangunan ekonomi, sosial, dan kesejahteraan negeri.

“Kerajaan negeri akan sentiasa berusaha untuk meneruskan kecemerlangan yang telah dicapai sepanjang pentadbiran sebelum ini demi kemaslahatan rakyat dan negeri ini.

“Di samping turut memperbaiki segala kelemahan yang ada sama ada daripada aspek ekonomi, sosial dan kesejahteraan Bersama,” katanya.

Beliau yakin perpaduan antara rakyat dan pentadbiran akan membolehkan Terengganu mencapai kejayaan lebih besar pada masa hadapan.

“Saya juga berharap Malaysia akan terus harmoni secara keseluruhannya terutama dalam amalan federalisme seperti hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri, pembahagian sumber yang adil dan saksama serta tumpuan pembangunan yang setara antara semua wilayah.

“Pastinya pelbagai perkara telah dihadapi oleh setiap daripada kita untuk tahun ini sama ada suka atau duka,” ujarnya.

Beliau menambah, walaupun mengejar kejayaan, jangan sekali-kali lupa pada akar budaya dan agama yang menjadi tunjang kepada jati diri dan tetaplah terus berpegang teguh dan sentiasa berusaha yang terbaik untuk beroleh redhaNya.