HULU TERENGGANU – Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan bahawa Kerajaan Negeri menerima kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Terengganu serta menyediakan keperluan seperti diminta Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Beliau turut menafikan bahawa berlakunya masalah antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri dalam isu terbabit.
“Secara asasnya kita tahu PMO hubungi Kerajaan Negeri atas pelbagai urusan sama ada peribadi, parti atau Kerajaan Persekutuan sahaja jadi cara pengurusan itu tidak sama.
“Tun Dr Mahathir Mohamad dulu kita dimaklumkan dengan jelas tujuan kedatangan, siapa yang dilibatkan tapi dalam kunjungan baru-baru ini kita tidak dimaklumkan perlunya urusan dengan Kerajaan Negeri jadi kita bantu dari segi logistik dan pengangkutan seperti diminta. Tidak dibuat permintaan lain daripada itu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mampu Milik (RMM) Tajin Sejahtera, Kuala Berang di sini hari ini.
Ahmad Samsuri turut berkata, pihaknya telah berurusan dengan empat orang Perdana Menteri yang berbeza sepanjang menjawat sebagai Menteri Besar Terengganu.
“Ideologi (politik) pada zaman Tun Mahathir juga berbeza, pada saya kecepatan dan kecekapan setiap Perdana Menteri itu yang berbeza,” ujarnya.