KUALA TERENGGANU – Kedah sedang merangka pelaksanaan Dasar Wanita Negeri Kedah yang dijadual dilancarkan pada penghujung tahun ini, dengan mengambil kira pelbagai input dan pengalaman terbaik hasil lawatan kerja ke Terengganu selama dua hari bermula semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga & Masyarakat dan Perpaduan Negeri Kedah, Dato’ Halimaton Shaadiah Saad, berkata, lawatan itu membuka ruang percambahan minda dan pertukaran ilmu yang signifikan dalam usaha memperkukuh dasar tersebut agar lebih inklusif dan berimpak tinggi kepada golongan wanita.
“Sepanjang perbincangan, pelbagai input dan ilmu telah dikongsikan bagi melakar rangka kerja dasar wanita yang bukan sahaja menyeluruh tetapi juga berupaya memberi kesan positif kepada kualiti hidup wanita di Kedah.
“Perbincangan juga merentas portfolio lain seperti pendidikan dan kebajikan yang boleh dirapatkan lagi untuk kesejahteraan rakyat di kedua-dua negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pertemuan antara Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu, Maliaman Kassim di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Tambahnya, usaha strategik ini turut didorong oleh aspirasi kerajaan negeri melalui jawatankuasa berkaitan yang komited menimba pengalaman daripada negeri Terengganu dalam memperkasakan wanita, terutamanya melalui program keusahawanan, keibubapaan, sokongan sosial dan pendidikan kekeluargaan.
“Terengganu merupakan antara negeri yang paling aktif dalam melaksanakan program-program pemerkasaan wanita dan sewajarnya dijadikan contoh oleh negeri lain termasuk Kedah,” ujarnya.
Katanya lagi, kerajaan negeri percaya dasar wanita harus bersifat menyeluruh dan merangkumi semua lapisan masyarakat, justeru segala perkongsian dan dialog sepanjang lawatan amat penting dalam memastikan dasar yang bakal dilaksanakan benar-benar memberi manfaat.
Menurut Halimaton, pelbagai inisiatif sedang dan akan terus dilaksanakan di Kedah termasuk dalam bidang pendidikan, kesihatan, keusahawanan digital, kebajikan dan keselamatan wanita.
“Lawatan ini bukan sahaja membuka ruang untuk mempersiapkan ilmu dalam membentuk dasar yang mampan, tetapi juga mewujudkan peluang kerjasama antara dua negeri dalam menjayakan agenda pemerkasaan wanita secara bersama,” katanya.
Dalam pada itu, Maliaman berkata Terengganu sentiasa bersedia untuk berkongsi pengalaman serta memberikan input yang diperlukan kepada kerajaan Kedah dalam usaha melaksanakan Dasar Wanita di negeri itu.
Menurutnya, kerjasama yang terjalin antara kedua-dua negeri merupakan satu langkah yang positif dan memberi manfaat bersama, khususnya dalam aspek kebajikan wanita.
“Kerjasama ini sangat baik kerana mewujudkan kolaborasi kebajikan yang boleh menjadi inspirasi kepada Terengganu sendiri dalam merangka pelaksanaan dasar tersebut agar menjadi reality di Kedah nanti,” ujar beliau.
Tambahnya lagi, segala aktiviti berkaitan akan diperkasakan secara bersama selepas ini bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan dasar itu di peringkat kedua-dua negeri.