Home Rencana PAS Wilayah

KECEWA DENGAN KEPUTUSAN MAHKAMAH PERSEKUTUAN, PEMUDA PAS TITIWANGSA GESA MAIS ADAKAN MUZAKARAH KHAS PERKUKUH INSTITUSI FATWA

7
SHARE

Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa hari ini menyatakan kekecewaan yang mendalam terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan pengisytiharan fatwa terhadap Sister In Islam (SIS) berkaitan fahaman liberalisme dan pluralisme.

Fatwa tersebut sebelum ini adalah satu bentuk amaran dan pelindung akidah umat Islam terhadap penyebaran fahaman yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar.

Kami berpandangan bahawa keputusan mahkamah ini membuka ruang yang sangat berbahaya kepada gerakan yang membawa ideologi asing dan cuba merombak nilai-nilai asas Islam melalui tafsiran liberal serta pluralistik yang merosakkan akidah dan identiti umat.
Sehubungan itu, kami menggesa agar Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Mufti Selangor segera mengadakan Muzakarah Khas, melibatkan para ulama, pakar perundangan syariah dan sivil, serta ahli akademik untuk:
1. Meneliti semula impak keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini.
2. Mengkaji semula kerangka undang-undang berkaitan pewartaan dan penguatkuasaan fatwa.
3. Merangka penambahbaikan prosedur dan mekanisme perundangan supaya institusi fatwa tidak mudah dicabar di mahkamah sivil.
4. Mewujudkan garis panduan penyelarasan antara bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil berkaitan isu-isu agama.
Kami juga menyeru agar seluruh institusi Islam negeri-negeri memperkukuh kerjasama dalam menghadapi gelombang baharu cabaran undang-undang terhadap autoriti keagamaan Islam.
Islam tidak boleh diletakkan setaraf dengan fahaman lain atas nama kebebasan bersuara atau hak asasi semata-mata. Kebebasan tidak bermakna bebas dari kebenaran.
Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa kekal istiqamah mendukung institusi fatwa dan menyeru semua pihak untuk bangkit mempertahankan kesucian agama Islam di negara ini.
“Kita Memimpin”
“Islam Adalah Penyelesaian”
AZMER SYAZWAN AHMAD SUPARMIN
Ketua Pemuda,
Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa