Dewan Pemuda PAS Kawasan Wangsa Maju melahirkan rasa dukacita dan kecewa yang mendalam terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang membenarkan rayuan SIS Forum (Malaysia) berhubung fatwa sesat terhadap fahaman liberalisme dan pluralisme agama. Keputusan ini walaupun bersifat teknikal dalam bidang tafsiran perlembagaan dan bidang kuasa, ia membuka ruang yang membimbangkan kepada cabaran terhadap autoriti dan institusi keagamaan Islam yang telah sekian lama memainkan peranan dalam membentengi akidah umat Islam di negara ini.
Fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor adalah jelas dan selari dengan prinsip syarak, apabila menyatakan bahawa mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam, dan wajib bertaubat serta kembali ke jalan yang benar. Kenyataan ini adalah dalam bidang kuasa mutlak pihak berkuasa agama negeri, selaras dengan Perkara 11(4) dan Butiran 1 Senarai II Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
Namun, keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak pemakaian fatwa ini kepada badan atau pertubuhan seperti SIS Forum atas alasan mereka adalah “entiti buatan” yang tidak termasuk dalam kategori “persons professing the religion of Islam”, menunjukkan adanya pengecilan skop pemakaian undang-undang Islam yang boleh menjadi precedent berbahaya pada masa hadapan.
Kami ingin menegaskan bahawa ideologi sesat seperti liberalisme dan pluralisme agama tidak boleh diberi tempat dalam masyarakat Islam di Malaysia. Membenarkan mana-mana pertubuhan memperjuangkan fahaman ini atas alasan status entiti undang-undang adalah satu bentuk kelonggaran yang boleh merosakkan akidah umat secara sistemik dan tersusun.
Kami juga menyeru agar semua pihak, khususnya kerajaan-kerajaan negeri, Majlis Agama Islam Negeri, dan pihak berkuasa agama, memperkukuh mekanisme penguatkuasaan fatwa terhadap individu-individu yang menggerakkan pertubuhan yang membawa fahaman sesat ini, agar mereka tidak terlepas daripada tanggungjawab syarie.
Dewan Pemuda PAS Wangsa Maju komited untuk mempertahankan institusi-institusi Islam termasuk institusi fatwa, mahkamah syariah, dan autoriti agama daripada apa-apa bentuk campur tangan atau pencabulan oleh agenda liberal yang ditaja oleh golongan tertentu yang mahu meruntuhkan kerangka Islam dalam perlembagaan dan sistem negara.
Islam tidak akan runtuh dengan fitnah dan serangan dari luar, tetapi akan hancur jika umat Islam sendiri berdiam diri terhadap usaha sistematik yang mahu menghalalkan fahaman yang sesat dan menyeleweng ini.
USTAZ BEYHAQI RAMLI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Kawasan Wangsa Maju
19 Jun 2025