KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
15 Mei 2018 | 29 Sya’ban 1439
1. Perpindahan rasmi Kedutaan Amerika Syarikat dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis merupakan suiz pemula kepada sengketa dan pertembungan dunia. Ianya berisiko memarakkan api fitnah yang menjurus ke kancah peperangan angkara penjajahan era baharu pentadbiran Donald Trump.
2. Disebalik sikap mendabik dada Amerika kononnya sebagai negara ‘penegak keamanan’ dan ‘polis dunia’, hakikatnya langkah angkuh itu beriringan kebaculan dan penakut. Trump tidak berani muncul untuk serta pada perasmian mega itu yang sekadar mewakilkan anak dan menantunya.
3. Lebih memalukan apabila dunia turut menzahirkan protes terbuka dari keengganan wakil-wakil negara untuk turut serta pada majlis tersebut. Ia telahpun didahului oleh konsensus negara-negara anggota PBB menolak pengiktirafan tersebut pada 22 Disember 2017.
4. Namun ternyata, Amerika meninggikan keegoannya dengan menjadi penaja dan pelindung rasmi kepentingan negara pengganas dunia Israel. Sekali gus ia menandakan pengisytiharan permusuhan terhadap umat Islam seluruhnya dengan merampas kota suci Islam itu.
5. Baitulmaqdis bukan sahaja dicabuli sebagai hak milik Islam dan umatnya, malah tindakan negara Uncle Sam itu juga merakusi hak asasi rakyat Palestin. Provokatif seperti ini hanya akan meletuskan ketegangan dan ketidakstabilan di rantau Asia Barat dan mengeruhkan kecamuk sedia ada.
6. Kami tetap bertegas bahawa bumi Palestin keseluruhannya mesti dikembalikan hak miliknya kepada Islam dan umatnya serta rakyat Palestin. Amerika diingat tidak melindungi Israel atas segala kedurjanaannya, malah wajib diadili menurut undang-undang yang ada.
7. Kami juga menggesa Kerajaan Malaysia yang baharu menerima mandat rakyat segera menyatakan bantahan keras terhadap Amerika. Tekanan kepada PBB supaya mengenakan tekanan ke atas negara itu perlu hingga mereka menarik semula pemindahan kedutaan tersebut.
8. Kami juga mahu pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendesak OIC mengadakan sidang tergempar bagi menangani segera perkara ini dan kemungkinan yang boleh berlaku. Negara umat Islam mesti bersatu dan bangkit membantah pencerobohan ini.
9. Kami dengan ini turut menyatakan solidariti ke atas perjuangan rakyat Palestin dalam Perarakan Pulang Besar-besaran (Great Return March) di Semenanjung Gaza. Tindakan Zionis Israel menyerang peserta yang tidak bersenjata adalah jenayah dan wajib diambil tindakan oleh PBB.
10. Kami menyeru rakyat Malaysia dan umat Islam seluruh dunia meneruskan doa munajat serta bersama PAS pada demonstarasi aman membantah tindakan Amerika ini yang akan diadakan pada Jumaat, 18 Mei ini jam 2 petang di hadapan Keduataan Amerika Syarikat, Kuala Lumpur.
“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”
“We’re All Baitulmaqdis”
YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia