Home Berita PAS Terengganu

Kecam Keras Serangan Israel ke Atas Iran

4
SHARE

KUALA TERENGGANU – Seluruh Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu sebulat suara mengecam keras serangan ketenteraan Israel ke atas Republik Islam Iran, serta menggesa Kerajaan Negeri di bawah gabungan SG4 untuk memperkukuh pendirian menolak sebarang bentuk pencerobohan terhadap negara berdaulat.

Usul dibentangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, YB Ustaz Ridzuan Hashim menegaskan bahawa tindakan Israel melancarkan serangan di luar wilayahnya merupakan satu pencabulan terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa, selain provokasi berbahaya yang menggugat kestabilan serantau dan global.

“Umat Islam di seluruh dunia memandang serangan ini sebagai satu penghinaan terhadap prinsip keadilan, kedaulatan dan keselamatan negara umat Islam, serta satu bentuk penjajahan moden yang semakin berani dan biadab.

“Umat Islam wajib bersolidariti menolak pencerobohan seperti ini, menzahirkan pendirian tegas terhadap sebarang bentuk keganasan negara (state terrorism) yang dilakukan oleh Israel, dan menolak percubaan kuasa besar yang cuba memecahbelahkan kesatuan Ummah melalui konflik proksi serta adu domba mazhab dan bangsa,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul dalam Sidang DUN Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Ke-15, semalam.

YB Ustaz Ridzuan Hashim

Menurut beliau, tindakan Israel bukan sahaja mencabar maruah dan kedaulatan negara-negara Islam, malah turut membuka ruang campur tangan kuasa luar yang berpotensi menjejaskan perpaduan umat Islam dan keselamatan global.

Sehubungan itu, beliau menyeru Kerajaan Negeri SG4 untuk menyatakan kecaman terbuka terhadap serangan tersebut dan memperkukuh usaha diplomasi melalui kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) Islam bagi meningkatkan kesedaran awam terhadap bahaya Zionisme.

Beliau juga menggesa Kerajaan Malaysia agar mengambil pendirian yang konsisten dan lantang dalam mengutuk serangan ini di peringkat antarabangsa, termasuk forum seperti ASEAN, OIC dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serta mendesak tindakan undang-undang terhadap Israel.

Malah, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) turut didesak untuk segera mengadakan sidang tergempar dan merangka langkah diplomatik serta ekonomi yang berkesan bagi menekan Israel menghentikan tindakan agresifnya.

“Dunia Islam mesti mengenepikan perpecahan mazhab dan bangsa, serta bersatu dalam menolak segala bentuk penjajahan dan keganasan negara oleh rejim Zionis,” ujar beliau.

Beliau turut menegaskan bahawa sebarang bentuk keganasan antarabangsa perlu ditolak sepenuhnya demi menjunjung prinsip kedaulatan negara, keamanan sejagat dan maruah umat manusia.